Dua sahabat yang juga graduan OKU penglihatan dari Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, berjaya mencipta detik bersejarah apabila menamatkan pengajian dan bergraduasi dalam Istiadat Konvokesyen UM Ke-64.
Partiban A/L Perumal dari Jabatan Pengajian Asia Tenggara dan Nur Izhan Fathi bin Saipul Anuwar dari Jabatan Antropologi dan Sosiologi meluahkan rasa syukur serta kebanggaan kerana dapat hadir ke majlis berprestij ini bersama keluarga tersayang.
“Sokongan keluarga, rakan-rakan, dan pensyarah menjadi tonggak kejayaan saya, walaupun saya mempunyai kekurangan. Hari ini, saya berasa sangat bangga dapat bergraduasi di dewan bersejarah ini, tempat yang sama di mana ibu saya juga pernah bergraduasi,” kata Nur Izhan.
Nur Izhan, yang memiliki minat mendalam dalam bidang seni dan kreatif, bercita-cita untuk meneruskan kerjaya dalam bidang tersebut.
Sementara itu, Partiban pula mengakui bahawa hari istimewa ini adalah saat yang amat dinanti-nantikannya. Beliau menyifatkan sokongan daripada kedua-dua adik dan keluarganya sebagai sumber kekuatan utama sepanjang perjalanan akademiknya di Universiti Malaya.
“Kenangan yang paling tidak dapat dilupakan ialah semasa tahun pertama saya di Universiti Malaya pada tahun 2020, iaitu ketika kemuncak pandemik Covid-19. Saya memilih untuk menginap di Kolej Kediaman dan belajar untuk berdikari sepanjang pengajian,” kata Partiban dengan penuh kebanggaan.
Kisah kejayaan dua graduan ini menjadi bukti bahawa keazaman dan sokongan daripada orang sekeliling mampu membantu seseorang mengatasi segala cabaran, sekali gus mencapai impian mereka.
Universiti Malaya pada tahun ini meraikan 9,253 graduan dalam Istiadat Konvokesyen Ke-64 dalam 16 sidang bermula 30 November hingga 8 Disember 2024.
Pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-64 telah diisytiharkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Canselor, Universiti Malaya.