corporate@um.edu.my +603-7967 7022                  

MALAM ALUMNI UM 2024


Universiti Malaya (UM) dengan penuh bangga mempersembahkan Malam Alumni UM 2024, sebuah acara epik yang julung kali diadakan dalam tempoh satu dekad, menyatukan lebih 2,000 alumni di bawah satu bumbung keramat di Dewan Tunku Canselor pada 17 Disember 2024 ini.

Acara gilang-gemilang ini diserikan dengan keberangkatan Duli Yang Maha Mulia Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Sultan Perak Darul Ridzuan dan Canselor Universiti Malaya, bersama-sama dengan kehadiran YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Perdana Menteri pada malam alumni telah mencadangkan anggota Kabinet alumni Universiti Malaysia (UM) menyumbang RM10,000 kepada Tabung UM Endowment Fund (UMEF) untuk tujuan pembangunan masa hadapan universiti.

Malam Alumni UM 2024 ini bukan sekadar perhimpunan, tetapi sebuah titik pertemuan jiwa dan semangat warga alumni. Majlis ini bakal menjadi pemangkin hubungan yang lebih kukuh antara alumni dan universiti, mencetuskan peluang rangkaian strategik serta kolaborasi berimpak tinggi.

Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman dalam ucapannya berkata UM perlu sokongan berterusan dari semua untuk universiti terus mencapai kejayaan luar biasa, sokongan dana padanan + Tabung Endowment serta menjayakan pembinaan Kompleks Habitat pelajar.            

“Universiti Malaya telah mengambil langkah strategik dengan menubuhkan Tabung Endowmen Universiti Malaya, satu inisiatif unggul. Tabung ini mensasarkan jumlah dana sebanyak RM1 bilion, di mana RM500 juta adalah hasil daripada usaha gigih universiti dan alumni serta sektor korporat dan industri manakala selebihnya diharap disokong dengan dana padanan oleh kerajaan.     

“Sehingga kini, hasil dana dalaman dan luaran telah berjaya mengumpulkan RM220 juta, dan dengan rendah hati, kami memohon sokongan dan dukungan yang berterusan daripada semua pihak, terutamanya kerajaan Malaysia untuk berganding bahu menjayakan agenda universiti. Sesungguhnya, sokongan yang diberikan adalah pelaburan dalam kecemerlangan masa depan negara,” kata Profesor Noor Azuan.            

Tambahnya lagi, malam ini menyulam kenangan, berhimpun kita dalam nostalgia merentas zaman. Pada 3 Disember 1994, tertubuh lah Persatuan Alumni Universiti Malaya, diungguli oleh Y.A.B. Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai ahli terhormat pertama bernombor 001. Kini, Universiti Malaya telah mempunyai sejumlah 237,748 alumni, lambang kekuatan, keakraban, dan kerjasama yang menjadi tunjang aspirasi gemilang masa hadapan. 

Lebih daripada sekadar perayaan, acara ini juga memikul misi mulia – memupuk kesinambungan kecemerlangan UM melalui sumbangan kepada Tabung Endowmen Universiti Malaya. Dana yang dijana akan menjadi nadi kepada pembangunan infrastruktur moden, memperkayakan program akademik dan penyelidikan, serta memperkukuh reputasi UM sebagai peneraju global dalam pendidikan, inovasi, dan penyelidikan.

Untuk keterangan lanjut mengenai Malam Alumni UM 2024 layari laman web - https://alumni.um.edu.my/malam-alumni

Last Update: Jan 03, 2025