corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

People@UM : Jasmi Abd. Aziz

People@UM Jasmi Abd Aziz

“Siapa sangka, dari sekolah aliran sastera, cita-cita nak jadi polis, saya bekerja sehinggalah pencen dalam bidang sains di universiti nombor satu negara?” tanya Encik Jasmi Abd. Aziz, Pembantu Makmal C26, ketika ditemui baru-baru ini di Makmal Analisis INFRA di Institut Pengajian Termaju (IAS), Universiti Malaya.

“Pekerjaan bidang sains pula bukan sebarang pekerjaan. Saya membantu penyelidik dan pelajar untuk melakukan sejenis ujikaji yang sangat khusus. Hanya saya dan dua orang lagi staf yang dibenar dan diberi tanggungjawab untuk menggunakan alat ini,” terangnya, sambil matanya melirik ke arah ‘surface analyser’ di sebelahnya.

Kami dikira antara yang bertuah kerana diberi peluang untuk menemubual beliau di dalam bilik makmalnya. “Makmal ini sebenarnya hanya untuk saya, Irfan (rakan setugas), dan Cik Mardiana (ketua makmal) melakukan tugas kami. Malah profesor pun, kalau nak berurusan dengan kami, cuma sampai di kaunter depan sahaja,” katanya sambil menghalakan jari telunjuknya ke kaunter penerimaan sampel di bahagian luar makmal.

“Tapi hari ni kita bagi special lah. Sebab bukan selalu masuk media sosial UM kan?” guraunya sambil matanya tidak lekang meneliti perjalanan alat di sebelahnya.

Anak kelahiran Lubuk China, Melaka ini sudah mula bertugas di Universiti Malaya sejak tahun 1987 lagi. “Masa mula-mula tu saya jadi pembantu penyelidik di bawah sebuah geran penyelidikan. Bermula pada tahun 1991, saya bekerja sebagai Pembantu Makmal di IAS (Institut Pengajian Tinggi ketika itu) sehinggalah sekarang,” katanya yang bakal bersara pada tahun 2023.

Ditanya mengenai pengalaman menarik sepanjang bertugas di UM, tanpa mengambil masa panjang, penggemar asam pedas ini menjawab (seolah-olah sudah bersedia untuk ditanya soalan ini sepanjang hari): “Ada dua perkara yang saya tak akan lupa mengenai hidup saya di UM. Pertamanya, saya temui jodoh saya di sini.

Keduanya, UM beri peluang untuk saya belajar dan buat persembahan gamelan di depan orang ramai! Tak akan terfikirlah saya kalau diminta buat persembahan muzik sebelum masuk UM. Saya ni pemalu sebenarnya. Tapi dengan sokongan orang lain, terutamanya daripada isteri tercinta; saya dan kawan-kawan telah berjaya buat banyak persembahan, termasuklah kepada orang kenamaan,” ceritanya panjang lebar.

“Kepada semua warga UM, saya sarankan supaya setiap daripada kita bertugas dengan ikhlas, di sepanjang masa. Janganlah berkira sangat, dan banyakkan tolong-menolong antara satu sama lain.

Kita semua ada peranan untuk dimainkan; tak kira kecil atau besar. Kita pasti kekal sebagai universiti yang terbaik, bila kita sama-sama tampung kekurangan yang ada; bukan dengan menuding jari mencari kesalahan atau kesilapan orang lain,” pesannya, apabila diminta untuk berkongsi mutiara kata sempena persaraannya tidak lama lagi.

Sambil kami mengangguk setuju dan cuba menghadam setiap patah pesanannya, tiba-tiba Encik Jasmi bertanya: “Oh, dah habis tanya soalan ke? Ingatkan nak minta saya menyanyi lagu ‘Dayung Sampan’ tadi.

Penat saya praktis malam tadi tau,” guraunya seraya ketawa dan menunjukkan sebaris giginya yang putih.

📸 Gambar oleh Mohd. Yani Alias untuk BPP (2022).

#UniversitiMalaya

#ImpactingTheWorld

Last Update: Dec 19, 2022