corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

People@UM - Mohd. Asrulfaizal Kamaruzaman

People@UM - Mohd. Asrulfaizal Kamaruzaman

Siapa sangka Jaha Amereka dari filem Budak Kelantan (2008, arahan Wan Azli Wan Jusoh) adalah staf Universiti Malaya?

Mohd. Asrulfaizal Kamaruzaman, Pegawai Kebudayaan Kanan B44 di Fakulti Seni Kreatif, mula berkhidmat di UM sejak tahun 2004. Selain lakonan, alumni jurusan drama dari Pusat Kebudayaan (ketika itu), juga aktif berdikir barat (menulis lirik, mengajar, dan membuat persembahan), bermain alat muzik tradisional (serunai, rebab, gendang, dan rebana), bersilat, dan bermain makyong. Anak sulung dari enam orang adik beradik ini menamatkan persekolahannya di SMK To’ Uban, Pasir Mas, Kelantan.

“Memang sejak kecil saya bercita-cita untuk menjadi pejuang seni budaya Melayu, jadi kelebihan berada di UM saya gunakan sepenuhnya untuk mencapai impian ini,” jawab anak jati Pasir Mas ini memulakan perbualan kami petang itu di Panggung Eksperimen.

“Dan UM sememangnya sentiasa dekat di hati saya. Ia bukan hanya tempat saya menimba ilmu dan kemudiannya mencari rezeki, tapi lebih dari itu. Jika bercakap mengenai perkembangan kerjaya dan minat dalam bidang lakonan, ringkasnya UM adalah di mana saya menjadi saya.

Di sinilah saya menemui diri saya yang sebenar. Watak-watak yang saya bawa, walaupun dalam pelbagai produksi yang berbeza, adalah kisah perjalanan seorang Asrulfaizal mencari dirinya,” jawabnya berfalsafah sambil merenung jauh, menembusi ruang pentas Panggung.

Ketika ditanya mengapa semua lakonannya hanya menggunakan dialek Kelantan, Asrulfaizal pantas menjawab: “Kerana hanya ketika menggunakan dialek Kelantanlah saya mampu memberikan penjiwaan kepada watak yang ingin dibawa. Saya tidak menjadi diri saya, jika cuba bercakap dalam bahasa Melayu standard.

Lagi pun, inilah rahsia saya untuk kekal relevan di dalam industri seni dengan keunikan saya sendiri,” jawab ayah penyayang kepada empat cahaya mata ini, sambil membetulkan ikatan rambutnya.

“Kalau gitu, boleh kongsi rahsia nok panda kecek Klate?” tanya jurugambar kami yang berasal dari Perak.

“Oh, untuk jawab soalan itu saya kena guna bahasa Kelantan yang original dari kampung saya, Golden Sand. Begini bunyinya:

“You have to love budu, brother. And don’t forget jering rebus cicah kelapa parut,” jawabnya selamba, seraya mengenyitkan matanya.


……
Asrulfaizal bakal beraksi sebagai watak utama di dalam filem aksi berkisar dunia makyong arahan Sabri Yunus, ‘Duan Nago Bogho’ yang akan berada di pawagam seluruh negara bermula 19 Januari 2023. 

Saksikan trailer filem ‘Duan Nago Bogho’ di sini: https://www.youtube.com/watch?v=SUDdwoFNGgc

📸 Gambar Asrulfaizal oleh Mohd. Fazli Zainordin @fazlizainor untuk CCC (2022). Poster ‘Duan Nago Bogho’ ihsan Kalam Ariff Holdings Sdn. Bhd.

Last Update: Dec 23, 2022