Canselor Universiti Malaya menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat kepada Tan Sri Dato’ Sri Dr. Sulaiman Mahbob yang sangat dikenali dalam perkhidmatan awam serta memegang beberapa peranan penting dalam sektor korporat.
Tan Sri Sulaiman Mahbob berkata beliau amat bersyukur kepada Allah SWT dan merafak sembah kepada Tuanku Canselor atas penganugerahan Ijazah Kehormat dalam Polisi Awam.
“Melalui anugerah ini saya akan teruskan untuk mencurah bakti dan berjasa kepada negara juga bangsa dan dapat memberi faedah dalam sektor pendidikan tinggi. Saya mengucapkan tahniah kepada graduan Universiti Malaya ini dan tahniah kepada ibu bapa mereka dapat membesarkan anak-anak mereka dan berjaya ke menara gading,” katanya.
Tan Sri Dr. Sulaiman sering menulis dan menyumbang artikel, khususnya tentang dasar ekonomi, pelaburan dan pembangunan kepada media tempatan, khususnya New Straits Times dan The Star. Kompilasi penulisan/artikel turut dibukukan oleh UM Press. Penulisan beliau seringkali menjadi rujukan kepada penganalisis ekonomi dari dalam dan luar negara, dan juga menjadi bahan rujukan kepada pelajar dan masyarakat umum.
Kesediaan Tan Sri untuk terus melibatkan diri dalam pengajaran pada usia 75 tahun dan pengalaman melalui program akademik di UNIRAZAK dan INPUMA, termasuk komuniti pelajar antarabangsa menunjukkan komitmen beliau yang tinggi dalam perkongsian ilmu.
Beliau juga telah dilantik sebagai Profesor Adjung di INPUMA, Universiti Malaya dan mengajar di dalam bidang kewangan dan dasar awam dan pelantikan ini merupakan antara tarikan utama pelajar ijazah tinggi untuk meneruskan pengajian di INPUMA/UM terutama dalam bidang Dasar Awam yang berkaitan Ekonomi. Kesarjanaan beliau turut diiktiraf oleh beberapa universiti lain seperti UNIRAZAK, UUM, UKM dan USM di mana beliau sentiasa bersedia untuk menyumbang idea dan keintelektualan melalui kursus pascasiswazah, khususnya Master of Public Policy (MPP) yang ditawarkan oleh INPUMA.
Sebagai alumni UM, sumbangan beliau kepada UM telah berjaya meningkatkan prestasi serta imej UM sebagai universiti ulung negara. Kepimpinan dan peranan Tan Sri dalam pelbagai organisasi dan lain-lain lagi turut mewujudkan sinergi yang banyak membantu mengukuhkan jalinan strategik UM dengan organisasi tersebut.
Pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-63 diisytiharkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Canselor, Universiti Malaya. Universiti Malaya pada tahun ini meraikan 8,326 graduan dalam Istiadat Konvokesyen Ke-63 dalam 15 sidang bermula 25 November hingga 2 Disember 2023.
Istiadat Konvokesyen Ke-63 kali ini juga menganugerahkan gelaran Ijazah Kehormat kepada Profesor Tan Eng Chye yang merupakan Presiden di the National University of Singapore (NUS). Seramai 9 orang profesor dari Universiti Malaya dikurniakan gelaran Profesor Emeritus dan pengurniaan Anugerah Pelajaran DiRaja kepada dua orang penerima.