corporate@um.edu.my +603-7967 7022                  

UM ANUGERAHKAN LEGENDA SENI TEATER & FILEM DATO’ RAHIM RAZALI – ANUGERAH KHAS KARVITER


Universiti Malaya (UM) dengan bangganya telah menganugerahkan Anugerah Khas Karnival Teater (KARVITER) Universiti Malaya 2025 kepada tokoh tersohor seni tanah air, Dato’ Abdul Rahim Mohd. Razali sebagai menghargai sumbangan beliau yang luar biasa dalam bidang teater, filem dan penyiaran negara.

Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata Anugerah Khas KARVITER UM 2025 ini merupakan penghormatan tertinggi kepada seorang tokoh yang bukan sahaja pernah menyemarakkan karnival teater, malah terus menjadi ilham generasi pelapis dalam dunia seni tanah air.

“Lebih dua dekad selepas meninggalkan pentas UM, nama Dato’ Rahim Razali kekal sebagai suara yang lantang dalam memartabatkan budaya dan jati diri bangsa melalui seni. Malam ini, Universiti Malaya berdiri megah dalam mengiktiraf seorang legenda bukan sekadar sebagai seniman, tetapi sebagai penggerak budaya dan pemikir bangsa,” katanya.

Dilahirkan pada 3 Julai 1939 di Batu Gajah, Perak, Dato’ Rahim Razali merupakan tokoh seni serba boleh yang telah mengabdikan hidupnya dalam memperjuang dan memartabatkan seni persembahan Melayu. Beliau memulakan penglibatan dalam dunia teater seawal tahun 1950-an dan terus memperkukuh bakatnya semasa menuntut dalam bidang Perakaunan di University of Melbourne, Australia, di bawah tajaan biasiswa Rancangan Colombo.

Sepanjang hayat kerjayanya, Dato’ Rahim telah menjalin kerjasama erat dengan tokoh-tokoh besar dunia teater seperti Allahyarham Seniman Negara Dato’ Syed Alwi, Dato’ Faridah Merican, Seniman Ahmad Yatim dan Allahyarham Rohani Yusoff. Beliau memainkan peranan penting dalam mengangkat mutu pementasan di Panggung Eksperimen Universiti Malaya pada era 1970-an menerusi kumpulan Malaysian Art Theatre Group (M.A.T.G).

Antara karya ikonik yang menyinar di pentas UM hasil sentuhan beliau termasuklah Uda dan Dara karya Sasterawan Negara Usman Awang, Tok Perak dan Alang Rentak Seribu oleh Dato’ Syed Alwi. Karya-karya tersebut bukan sahaja menjadi mercu tanda dalam sejarah teater Melayu moden, tetapi turut membina identiti budaya yang lebih bermakna bagi negara.

Sumbangan beliau juga merentasi dunia filem dengan karya-karya besar seperti Abang, Matinya Seorang Patriot, dan Sumpah di Bumi Merah, yang sarat dengan nilai kemanusiaan, perjuangan budaya dan semangat kebangsaan.

Karnival Teater 2025 (KARVITER) merupakan acara tahunan universiti dan penganjuran tahun 2025 merupakan penganjuran kali ke-13 yang menampilkan bakat dan karya para mahasiswa. KARVITER berlangsung selama 2 minggu bermula 17 April sehingga 30 April 2025. Sebanyak 12 kolej kediaman yang bertanding bagi merebut gelaran juara dengan mempertaruhkan produksi teater terbaik mereka dengan tema dan pendekatan yang unik.

Last Update: May 02, 2025