Universiti Malaya hari ini menerima kunjungan rasmi Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar, Peguam Negara, bersempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Jabatan Peguam Negara dan Universiti Malaya.
Majlis yang berlangsung di Canseleri Universiti Malaya ini disempurnakan dengan kehadiran Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman bersama barisan pengurusan kanan universiti dan pegawai-pegawai kanan dari Jabatan Peguam Negara.
MoU ini menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh kerjasama strategik antara dua institusi teras negara iaitu Jabatan Peguam Negara dan Universiti Malaya, khususnya dalam bidang pendidikan undang-undang, penyelidikan, latihan serta pembangunan modal insan.
Dalam ucapan aluan Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, kerjasama ini memberi penekanan terhadap pengayaan kurikulum pendidikan undang-undang agar kekal relevan dengan keperluan profesion guaman semasa, di samping menyediakan peluang latihan, sabatikal dan program sangkutan bagi pelajar serta ahli akademik Universiti Malaya untuk menimba pengalaman praktikal di Jabatan Peguam Negara.
“Saya ingin menzahirkan penghargaan kepada Tan Sri Mohd Dusuki dan seluruh delegasi Jabatan Peguam Negara atas komitmen padu terhadap usaha membina sinergi antara akademia dan perkhidmatan awam perundangan. Kolaborasi ini bukan sahaja memperkukuh kedudukan Universiti Malaya sebagai institusi unggul dalam bidang perundangan, tetapi juga menyumbang secara langsung kepada pembangunan sumber manusia dan peningkatan profesionalisme dalam bidang perundangan negara,” kata Profesor Azuan.
Sementara itu, Tan Sri Mohd Dusuki bin Mokhtar, Peguam Negara, dalam ucapannya menyatakan keyakinan bahawa perjanjian yang dimeterai hari ini akan membawa manfaat besar kepada kedua-dua pihak.
“MoU ini secara amnya mengandungi 13 Artikel yang akan dipersetujui oleh pihak Jabatan dan Universiti yang saya percaya secara khususnya akan memberi impak positif dan nilai tambah kepada aspek perundangan dan pendidikan bagi kedua-dua belah pihak. Skop kerjasama di bawah MoU ini bukan sahaja terhad kepada para pelajar, malahan turut melibatkan warga ahli akademik Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya termasuk juga dari pihak AGC.
“Sepanjang tempoh tahun 2023 hingga 2025, Universiti Malaya telah menghantar seramai 34 orang pelajar untuk menjalani Program Latihan Industri (LI) di Jabatan Peguam Negara. Selain itu, bagi Program Internship AGC, sebanyak 12 orang pelajar Universiti Malaya telah diterima untuk mengikuti program tersebut bagi tempoh 2024 hingga 2025.
“Bagi warga ahli akademik Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya pula, mereka akan menerima manfaat di bawah MoU ini termasuk peluang menjalani sabatikal di AGC, kerjasama dalam aktiviti akademik seperti penyelidikan, latihan perundangan, kursus jangka pendek, persidangan serta simposium atau konsultasi bersama antara kedua-dua pihak,” tambah Tan Sri Mohd Dusuki.
Majlis menandatangani MoU ini menzahirkan komitmen berterusan kedua-dua pihak untuk memperkukuh ekosistem perundangan negara yang lebih dinamik, berdaya saing dan berintegriti. Universiti Malaya percaya bahawa sinergi ini akan memberi impak positif dan berpanjangan bukan sahaja kepada kedua-dua institusi, tetapi juga kepada pembangunan sistem perundangan serta tadbir urus negara secara keseluruhannya.