corporate@um.edu.my                   

UM SASAR ‘ZERO IMPORT BERAS’ MENJELANG 2030


Universiti Malaya (UM) melalui Centre of Excellence: Food Security and Intelligent Farming (CoE FSIF) dengan kerjasama Yusri Maju Sdn. Bhd. melancarkan projek perintis penanaman padi menggunakan kaedah Tekno Alami di Desa Gemalai, sebagai langkah strategik mencapai sasaran menghapuskan import beras sepenuhnya menjelang 2030–2035. 

Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada hala tuju Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) 2023–2030 di bawah Program Inovasi Nasional Keterjaminan Agromakanan Rakyat (PINTAR), yang menekankan peningkatan produktiviti, kelestarian, dan kedaulatan makanan negara.

Naib Canselor UM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, berkata pendekatan Tekno Alami menggabungkan kebijaksanaan tradisional dan inovasi sains moden untuk meningkatkan hasil padi, memulihkan kesuburan tanah, mengurangkan pencemaran pertanian, serta membina sistem pertanian yang berdikari dan berdaya tahan.

“Unjuran CoE FSIF menunjukkan, selepas pemulihan tanah, hasil padi dijangka meningkat daripada purata 2.58 tan/ha kepada 6 tan/ha. Dengan 610,000 hektar tanah sawah sedia ada, Malaysia mampu menghasilkan 3.66 juta tan beras setahun. Sekiranya tambahan tanah baru yang bekeluasan 50,000–100,000 hektar dapat dibuka dan menggunakan teknologi yang dibangunkan ini, maka Negara akan dapat menghasilkan sekurang-kurangnya tambahan 4 juta tan setahun. Justeru dapat menamatkan keperluan import beras bermula tahun 2030,” tambah Profesor Azuan lagi. 

Menurut Dr. Fathiah Mohamed Zuki, Ketua UMCoE FSIF, kaedah ini menggunakan bakteria bermanfaat Bacillus salmalaya hasil penyelidikan UM untuk meningkatkan percambahan, ketahanan tanaman, dan kesuburan tanah tanpa baja atau racun kimia. Hasilnya, potensi pengeluaran boleh mencecah 8 tan/ha dengan kos input rendah.

“Selain menjamin keterjaminan makanan, projek ini akan membuka peluang pekerjaan luar bandar, merancakkan pelancongan agro, dan menjadi model penanaman padi organik seluruh negara, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan PBB, khususnya SDG 2, SDG 12, dan SDG 15, serta menyokong pelaksanaan penuh PINTAR bagi memastikan keterjaminan agromakanan rakyat Malaysia.

“Pihak CoE FSIF juga memperluas usaha ini ke Borneo melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan AGV Sdn. Bhd., yang akan memacu pembangunan tanaman padi berskala besar di wilayah tersebut bersama rakan industri, sekali gus memperkukuh kapasiti pengeluaran beras negara di seluruh rantau,” tambahnya lagi.

Last Update: Aug 12, 2025