corporate@um.edu.my                   

UM TEROKA DASAR LAUT, CIPTA ARUS BAHARU KEPIMPINAN

Universiti Malaya (UM) melangkah ke dimensi baharu pembangunan kepimpinan apabila 22 pemimpin tertinggi universiti menyertai program berkonsepkan selaman sedalam 20 meter di Pulau Bidong, menjadikan pengalaman alam semula jadi sebagai ruang pembelajaran dan transformasi kepimpinan.

Program bertemakan “UM Menelusuri Cabaran: Selaman Bersama”, yang berlangsung dari 4 hingga 7 September 2025 di Stesen Alami Marin UMT, bukan sekadar ekspedisi menyelam. Ia menjadi metafora keberanian keluar dari zon selesa, kesediaan menghadapi cabaran baharu, serta kekuatan mental dan fizikal dalam kepimpinan dalam menghadapi arus cabaran dan perubahan masa depan. 

Sepanjang program, peserta diuji dalam membuat keputusan dalam suasana tidak menentu, berkomunikasi secara bukan lisan di bawah laut, serta membina kepercayaan mutlak kepada rakan sepasukan yang merupakan asas penting kepada kepimpinan berkesan, terutamanya dalam konteks pendidikan tinggi global yang menuntut keupayaan pembuatan keputusan secara strategik. Program ini turut membuka ruang interaksi santai antara pengurusan tertinggi, dekan dan pengarah, sekali gus mengeratkan hubungan dan komunikasi.

Naib Canselor UM, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, menyifatkan program ini sebagai simbol perjalanan dalaman seorang pemimpin.

“Apabila kita menyelam, kita tidak hanya melihat keindahan dasar laut. Kita belajar erti tanggungjawab terhadap diri sendiri, pasukan, dan alam. Dalam dunia yang sunyi tanpa suara, kita mula mendengar dengan lebih jelas – suara hati, suara kepimpinan, serta panggilan hati nurani untuk memberikan yang terbaik kepada institusi, negara dan kemanusiaan.

Pengurusan tertinggi bersama para dekan Universiti Malaya juga telah mengambil inisiatif berani yang belum pernah diterokai sebelum ini, menggunakan pendekatan selaman skuba sedalam 20 meter di Laut China Selatan berhampiran Pulau Bidong sebagai wadah pembinaan pasukan dan semangat kebersamaan dalam mengemudi UM ke era kebanggaan baharu di persada dunia.

Inilah tentang keberanian untuk mencorak lembaran baharu, menguji kemampuan dan keyakinan diri untuk memberikan yang terbaik kepada masa depan negara, dan menjadi pemangkin manifestasi pembuatan keputusan, rasa hormat, kepimpinan, strategi, halatuju bersama, keberanian menembusi sempadan, fokus, mengatasi ketakutan dengan tindakan, serta membentuk pemimpin yang tahan lasak. Ia mencabar norma konvensional dan status quo, dan membentuk semangat perubahan baharu. Kepimpinan bersatu sebeginilah yang akan melonjakkan UM ke tahap seterusnya dalam usaha mengangkat darjat universiti ke era baharu,” ujar Profesor Azuan.

Turut berkongsi pandangan, Profesor Dr. Saiful Anuar Karsani, Dekan Fakulti Sains, berkata latihan ini mengajar erti kerja berpasukan, fokus, dan yang paling utama, kepercayaan.

“Kepercayaan terhadap rakan sepasukan, terhadap peralatan, dan terhadap latihan yang kita lalui. Ia juga membuktikan dengan mindset yang betul, tiada apa yang mustahil. Sentiasa berani, sentiasa tekad, sentiasa berwawasan,” katanya. 

Bagi Profesor Dr. Zamri Radzi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), aktiviti ini lebih daripada sekadar sukan atau rekreasi. Selaman adalah sebuah perjalanan pertumbuhan diri. Ia menyemai sifat tabah, tenang, disiplin, dan kebijaksanaan dalam membuat keputusan. Paling penting, ia mengingatkan kita bahawa hidup adalah tentang keseimbangan dalam memimpin, dan bila untuk dipimpin.

Sementara itu, Profesor Dr. Surinderpal Kaur, Dekan Fakulti Bahasa dan Linguistik, melihat pengalaman ini sebagai cabaran peribadi. 

“Ia satu cabaran untuk memperbaiki diri, satu cabaran untuk pergi lebih jauh, atau lebih dalam  dan bergerak lebih jauh dari kebiasaan,” tambahnya.

Bagi Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Raman, Pendaftar UM, pengalaman ini memberi impak luar biasa. Ia satu latihan yang sangat hebat. 

“Saya tidak pernah terbayang bahawa saya mampu melakukan apa yang saya lakukan,” tambahnya lagi. 

Program ini diyakini menjadi penanda aras baharu pembangunan kepimpinan di institusi pendidikan tinggi, membuktikan bahawa latihan kepimpinan tidak semestinya terikat pada persekitaran formal, tetapi boleh dihidupkan melalui pengalaman yang mencabar, menginspirasi dan penuh makna.

Last Update: Sep 10, 2025