Dr. Nurul Hidayah Watimin, graduan Doktor Falsafah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan Tai Jia Sheng graduan Ijazah Sarjana Muda Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya cekalkan hati untuk tamatkan pengajian walaupun diuji dengan serangan strok.
Dr. Nurul Hidayah berkongsi ketika beliau sedang menyambung pengajian di peringkat Doktor Falsafah, beliau telah dijangkiti covid-19 varian Delta tahap empat pada tahun 2021 dan mengalami serangan jantung yang memerlukan pembedahan dan juga beliau mengalami komplikasi serangan strok dari pembedahan tersebut.
“Perjalanan pengajian saya penuh berliku, jadi saya sangat gembira dapat hadir ke Istiadat Konvokesyen hari ini dan berpuas hati selepas menempuh cabaran yang saya telah lalui. Sepanjang pengajian saya secara atas talian, saya bersyukur kerana mempunyai penyelia yang sangat prihatin bagi memastikan saya dapat bergraduasi dalam tempoh masa yang telah ditetapkan,” katanya.
Ibunya, Nor Hayati Meor Mohamed juga telah menzahirkan rasa syukur dan sebak kerana Dr. Nurul Hidayah dapat menamatkan pengajian dan dapat hadir ke istiadat konvokesyen hari ini.
Graduan Fakulti Kejuruteraan, Tai Jia Sheng yang telah menamatkan pelajaran dalam program Sarjana Muda Kejuruteraan Awam telah berjaya lulus dengan cemerlang walaupun telah mengalami serangan strok semasa tempoh pengajian.
“Sewaktu kejadian berlaku, saya mengambil keputusan untuk berehat dan fokus kepada pemulihan kesihatan. Namun, rakan-rakan dan juga pensyarah saya terus memotivasikan saya untuk meneruskan pengajian sehingga tamat, walaupun kenyataannya kecacatan saya ini akan mungkin menjadi kekal, ini tidak menjadi penghalang buat saya untuk meneruskan kehidupan dan pengajian saya,” katanya.
Tai Jia Sheng yang juga telah menerima anugerah Hadiah Buku Universiti, telah menghadiri Istiadat Konvokesyen UM ke-63 di Dewan Tuanku Canselor pada 26 November 2023 yang lalu.
YB Datuk Dr Ahmad Marzuk bin Shaary, Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Kelantan telah menerima Ijazah Kedoktoran pada Sabtu, 25 November yang lepas dari Akademi Pengajian Islam. Tajuk tesis beliau ialah “The Tendency if 20th Century Biographical Works on Malay Muslim Scholars in Malaysia.