corporate@um.edu.my                   

FAKULTI SAINS UM MERAIKAN 121 TAHUN KECEMERLANGAN, MENERUSKAN LEGASI ILMU MERENTASI GENERASI

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya, Tan Sri Zarinah Anwar ketika menyampaikan ucapan perasmian.

Lebih satu abad mencorak perkembangan ilmu, melahirkan generasi ilmuwan dan menyumbang kepada kemajuan penyelidikan negara, legasi kecemerlangan sains Universiti Malaya (UM) kini diabadikan menerusi pelancaran Buku Legasi Kecemerlangan Fakulti Sains.

Pelancaran buku berkenaan menjadi acara kemuncak Majlis Legasi Kecemerlangan Fakulti Sains yang berlangsung di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, hari ini, bersempena sambutan 121 tahun perjalanan sejarah institusi itu sejak 1905.

Penerbitan tersebut mendokumentasikan perjalanan sejarah, tokoh serta detik penting yang membentuk perkembangan Fakulti Sains, sekali gus mengiktiraf sumbangan generasi terdahulu dalam membina asas kecemerlangan akademik dan penyelidikan yang terus berkembang hingga kini.

Majlis berkenaan telah dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya, Tan Sri Zarinah Anwar, yang menegaskan bahawa kekuatan sesebuah institusi pendidikan bukan hanya terletak pada pencapaian semasanya, tetapi juga pada keupayaan memastikan ilmu dan nilai kecemerlangan terus diwariskan kepada generasi akan datang.

“Kecemerlangan sesebuah institusi bukan hanya diukur melalui pencapaiannya hari ini, tetapi juga melalui manfaat yang ditinggalkannya kepada generasi selepasnya,” katanya.

Menurut beliau, legasi yang bermakna bukan sekadar sejarah untuk dikenang, sebaliknya perlu terus menjadi inspirasi dalam membentuk masa depan pendidikan, penyelidikan dan pembangunan masyarakat.

“Itulah legasi yang sebenar: bukan hanya dikenang, tetapi terus hidup; bukan sekadar menjadi kebanggaan, tetapi menjadi sumber inspirasi,” ujar beliau.

Sementara itu, Dekan Fakulti Sains UM, Profesor Dr. Saiful Anuar Karsani berkata, penganjuran majlis tersebut merupakan penghargaan kepada generasi ilmuwan, warga fakulti, alumni dan rakan industri yang telah menyumbang kepada pembangunan serta kecemerlangan fakulti sepanjang sejarahnya.

“Majlis ini bukan sekadar acara mengenang masa lalu. Ia ialah usaha untuk memastikan setiap generasi memahami dari mana kita bermula, siapa yang membina asasnya dan mengapa amanah kecemerlangan ini mesti diteruskan,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa kesinambungan kecemerlangan sesebuah institusi memerlukan komitmen berterusan untuk memperkukuh asas ilmu yang telah dibina, di samping memastikan generasi baharu bersedia mendepani cabaran dan perkembangan dunia sains yang semakin pesat.

“Legasi bukan hanya tentang apa yang kita warisi, tetapi tentang apa yang kita teruskan dan tinggalkan untuk generasi seterusnya,” katanya.

Selain pelancaran buku, majlis tersebut turut menampilkan pameran Science Fiesta dan Research Highlight yang mengetengahkan hasil penyelidikan serta inovasi Fakulti Sains, sekali gus memperlihatkan kesinambungan antara warisan kecemerlangan akademik dengan usaha penerokaan ilmu masa hadapan.

Majlis turut diserikan dengan persembahan pelajar, mencerminkan penglibatan generasi muda dalam meneruskan tradisi keilmuan dan kecemerlangan universiti.

Penganjuran ini merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-121 Universiti Malaya yang bertemakan “121 Tahun Kecemerlangan, Menyulam Masa Depan”, dengan penekanan terhadap usaha memelihara warisan institusi sambil memperkukuh peranannya sebagai peneraju pendidikan tinggi, penyelidikan dan inovasi.

Melangkah ke hadapan, UM terus komited untuk memastikan legasi kecemerlangan yang dibina sepanjang lebih satu abad bukan sekadar menjadi catatan sejarah, sebaliknya menjadi asas kepada penemuan baharu, pembangunan bakat dan sumbangan ilmu yang memberi manfaat kepada negara serta masyarakat global

Barisan tetamu kehormat dan pengunjung.


Last Update: Oct 29, 2026