Hampir 2,000 pelajar peringkat asasi sesi 2022/2023, yang merangkumi program-program pengajian Asasi Sains aliran Hayat/Fizikal, Asasi Pengajian Islam dan Sains (APIDS), Asasi Pengajian Islam, Program Khas Bahasa Arab dan Rancangan Persediaan ke Jepun (RPKJ) mula mendaftar secara fizikal di Universiti Malaya.
Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Sabri Musa, pendaftaran telah bermula semalam dan juga hari ini dan pelajar-pelajar ini ditempatkan di tiga kolej kediaman di Universiti Malaya.
“Pihak Universiti telah membuat persiapan rapi dari semua aspek bagi persediaan kelas secara fizikal. Buat pertama kalinya juga untuk sesi kali ini Universiti menerima pelajar Asasi melalui program Saluran Terbuka UM (SATU) aliran Hayat, Fizikal dan Pengajian Islam yang terbuka kepada warganegara Malaysia berstatus Bumiputera dan memenuhi syarat-syarat kemasukan.
“Pihak MARA juga pada sesi ini berbesar hati menaja pelajar cemerlang SPM menerusi Young Talent Programme (YTP) yang ditawarkan kepada 120 orang pelajar untuk melanjutkan pengajian peringkat asasi di UM,” katanya.
Profesor Dr. Sabri juga berharap pelajar yang telah kembali ke kolej kediaman terus mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan COVID-19 di kampus.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Universiti Malaya Week of Welcome (UM-WOW) 2022/2023 dan juga Pengarah Pusat Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya, Dr. Iskandar Abdullah berkata, Minggu Suai Kenal Pelajar (MSKP) akan bermula Isnin hingga Rabu ini; di mana pelajar akan mengikuti sesi taklimat di Dewan Tunku Canselor bagi perkara-perkara berkaitan akademik, kebajikan, dan urusan hal ehwal pelajar yang lainnya. Mereka juga akan dibawa melawat ke bilik kuliah dan kawasan lain sekitar kampus.
“Pendaftaran hari ini melibatkan beberapa check point, iaitu proses saringan kesihatan, dan pendaftaran kolej kediaman, sebelum menaiki bas ke kolej kediaman.
“Ibu bapa juga tidak perlu risau, kerana pihak Universiti telah menyediakan penginapan, makan minum di sepanjang MSKP, dan memastikan keselamatan dan kesihatan para pelajar terjaga,” katanya.
Dua orang pelajar adik-beradik kembar, Nur Najihah Mohd. Faiz dan Nur Nadirah Mohd. Faiz yang ditemui ketika mendaftar untuk program Asasi Sains Hayat semalam berkata, mereka teruja kerana berjaya ditempatkan di pusat pengajian yang sama. Mereka yang berasal dari Selangor dan ditempatkan di bilik yang sama. “Cita-cita saya adalah untuk menjadi ahli farmasi. Sekiranya diberi peluang, saya ingin bertugas di Kementerian Kesihatan Malaysia kelak. Kami amat meminati bidang ini sejak di bangku sekolah menengah,” kata Nur Najihah.
Menurut Muhammad Hariz Hakimi Nahrizul Adib pula yang mendaftar untuk program Asasi Sains Fizikal hari ini, perasaan beliau agak bercampur baur; kerana walaupun agak gementar untuk menyesuaikan diri di tempat baharu, namun pada masa yang sama juga teruja untuk mencipta pengalaman di menara gading. “Ibu bapa saya yang merupakan alumni Universiti Malaya merupakan idola saya, dan ini antara sebab utama saya memilih UM untuk melanjutkan pengajian di sini. Jika diberi peluang, saya juga ingin melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda kelak di dalam bidang kejuruteraan, sama seperti mereka,” katanya.
Dalam pada masa yang sama, Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Ir. Dr. Mohd Hamdi Abd Shukor juga hadir bagi mendaftarkan anak beliau ke Pusat Asasi Sains Universiti Malaya.