corporate@um.edu.my                   

JADIKAN UNIVERSITI RAKAN STRATEGIK NEGARA, BUKAN SEKADAR PENYEDIA LAPORAN – NAIB CANSELOR UM


Universiti perlu diberikan peranan yang lebih strategik dalam membantu kerajaan merangka dasar, membangunkan teknologi dan menangani cabaran negara, bukan sekadar menjadi institusi penyelidikan atau penyedia laporan apabila diperlukan.

Naib Canselor Universiti Malaya (UM), Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman berkata, Malaysia mempunyai kepakaran, bakat dan keupayaan penyelidikan yang luas, namun potensi tersebut perlu dimanfaatkan secara lebih menyeluruh dalam proses membuat keputusan dan pembangunan negara. 

“Malaysia tidak kekurangan kepakaran. Yang kadangkala kurang ialah keberanian untuk mempercayai dan menggunakannya pada tahap tertinggi,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam ucapan alu-aluan sempena Sesi Khas Pasca Belanjawan 2027 bersama Kepimpinan Perkhidmatan Awam dan Pelancaran Aplikasi MyResQ di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya, hari ini. 

Majlis tersebut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, bersama kepimpinan tertinggi perkhidmatan awam dan Pengurusan Tertinggi Universiti Malaya. 

Menurut beliau, universiti perlu dilibatkan lebih awal dalam pembangunan dasar dan penyelesaian cabaran strategik negara, khususnya dalam bidang kecerdasan buatan, keselamatan kesihatan, tenaga, makanan, pendidikan dan reformasi penyampaian perkhidmatan awam. 

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan konvensional dan proses kerja yang terlalu terikat dengan kelaziman tidak seharusnya menjadi penghalang kepada kemajuan. 

“Tata kerja penting, tidak dinafikan, tetapi tata kerja tidak boleh menjadi tembok kepada kemajuan. Kita perlu lebih terbuka, lebih pantas dan lebih yakin,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa prestij dan kedudukan universiti dalam penarafan antarabangsa tidak membawa makna sekiranya kepakaran serta hasil penyelidikan gagal diterjemahkan kepada penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat. 

“Penyelidikan yang tidak sampai kepada rakyat hanyalah pencapaian di atas kertas,” tegas beliau. 

Mengulas mengenai pelaksanaan Belanjawan 2027, beliau berpandangan bahawa ukuran kejayaan sesuatu dasar dan peruntukan bukan sekadar terletak pada perancangan atau komitmen yang diumumkan, tetapi pada keberkesanan pelaksanaan serta perubahan yang dirasai oleh rakyat. 

Beliau menegaskan bahawa Universiti Malaya bersedia memainkan peranan lebih aktif dengan menawarkan kepakaran, kemudahan penyelidikan, data, jaringan antarabangsa dan bakat terbaik bagi menyokong agenda pembangunan negara. 

“Jadikan kami rakan strategik, bukan tetamu terakhir yang dipanggil apabila semua pilihan lain telah habis,” katanya. 

Beliau berharap pertemuan tersebut menjadi titik permulaan kepada kerjasama yang lebih erat antara universiti dan perkhidmatan awam dalam memastikan ilmu, dasar dan inovasi diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk negara dan rakyat.


 

Last Update: Oct 15, 2026