corporate@um.edu.my                   

KONVENSYEN SUARA GURU MALAYSIA PLATFORM MENYUARAKAN SUARA AKAR UMBI GURU

Konvensyen Suara Guru Malaysia 2025, anjuran Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dengan kerjasama Fakulti Pendidikan dan Pusat Jalinan Masyarakat (UMCares), menghimpunkan warga pendidik di Auditorium Fakulti Alam Bina, Universiti Malaya.

Bertemakan, Guru Malaysia – Memperkukuh Ketahanan, Melestari Profesion, majlis ini dirasmikan oleh YB Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia, serta dihadiri oleh YBrs. Professor Dr. Zamri Radzi, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) Universiti Malaya, dan Tuan Aminuddin Awang, Presiden NUTP Malaysia. 

Profesor Dr. Zamri Radzi dalam ucapannya berkata, “dalam dunia pendidikan hari ini, guru bukan lagi hanya penyampai ilmu. Guru adalah pendidik, pembimbing, penggerak komuniti, malah kini menjadi pencetus perubahan sosial.”

“Maka, konvensyen seperti ini amat penting kerana ia menyediakan ruang untuk kita mendengar, menghargai, dan mengangkat suara guru, iaitu suara yang menjadi nadi kepada masa depan pendidikan negara.

“Universiti Malaya amat percaya bahawa untuk melahirkan masyarakat berilmu dan berdaya saing, kita perlu bermula dengan memperkukuh asasnya iaitu pendidikan yang diterajui oleh guru-guru yang berwawasan dan berkualiti”, kata beliau lagi. 

Konvensyen ini bertujuan menjadi platform rasmi untuk menyuarakan suara akar umbi guru dan mencerminkan realiti sebenar dihadapi para pendidik di lapangan, sekaligus, memberikan ruang kepada guru untuk berkongsi pengalaman, cabaran serta pandangan mereka terhadap dasar dan hala tuju pendidikan negara. 

Konvensyen ini juga berfungsi sebagai medan ilmiah bagi guru menzahirkan inspirasi dan aspirasi mereka dalam usaha memartabatkan sistem pendidikan negara, melalui perbincangan berteraskan bukti dan pengalaman profesional para pendidik untuk bersama-sama meneroka pendekatan baharu ke arah pendigitalan pendidikan yang lestari dan berjiwa kemanusiaan. 

 Antara pengisian utama Konvensyen Suara Guru Malaysia 2025 ialah pembentangan hasil kajian fenomenologi oleh 25 orang Ketua Penyelidik NUTP dari Institut Pendidikan Guru di seluruh negara.

Last Update: Dec 30, 2025