
Hasrat Syafiq untuk melangkah ke pentas Dewan Tunku Canselor bagi meraikan kejayaan menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya (UM) tidak kesampaian apabila beliau terlibat dalam kemalangan motosikal ketika dalam perjalanan pulang daripada kerja sambilan sekitar jam 1 pagi.
Kemalangan tersebut menyebabkan graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik, Muhammad Syafiq Zakhwan Abdul Razak tidak dapat menghadiri Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-66, suatu detik yang dinanti-nantikan setelah bertahun-tahun mengharungi perjalanan pengajian.
Namun, ketidakhadirannya ke istiadat berkenaan tidak menghalang kejayaannya daripada terus diraikan.
Dalam satu detik penuh bermakna, Naib Canselor Universiti Malaya, Dato’ Seri Profesor Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, hari ini menyantuni Syafiq dan menyampaikan sendiri skrol kepadanya di Pusat Perubatan Universiti Malaya sebagai tanda penghargaan terhadap usaha, pengorbanan dan ketabahan beliau sepanjang perjalanan pengajian.

Menurut Profesor Azuan, di sebalik setiap kejayaan seorang graduan, tersimpan kisah perjuangan dan pengorbanan yang mungkin tidak diketahui ramai, namun sewajarnya dihargai.
“Syafiq mungkin tidak berkesempatan melangkah ke pentas Dewan Tunku Canselor, namun keadaan itu tidak sedikit pun mengurangkan makna kejayaan yang telah diraihnya.
“Bagi Universiti Malaya, setiap graduan adalah sebahagian daripada keluarga besar universiti ini. Tanggungjawab kita bukan sekadar melahirkan insan yang cemerlang dalam bidang akademik, tetapi juga memastikan nilai keprihatinan, empati dan kemanusiaan sentiasa menjadi teras dalam setiap tindakan kita.
“Saya mendoakan agar Syafiq diberikan kesembuhan dan kekuatan untuk meneruskan perjalanan kehidupannya serta mencapai segala impian yang dicita-citakan,” katanya ketika menyampaikan skrol.
Sementara itu, Syafiq menzahirkan rasa terharu dan penghargaan atas kesudian Naib Canselor meluangkan masa untuk menyantuninya serta menyampaikan sendiri skrol berkenaan.
“Seperti graduan lain, saya juga mengimpikan untuk naik ke pentas konvokesyen dan meraikan kejayaan ini bersama keluarga serta rakan-rakan. Apabila mengetahui saya tidak dapat menghadiri konvokesyen, sudah tentu ada rasa terkilan kerana inilah detik yang saya nantikan sejak mula menjejakkan kaki ke universiti.
“Namun, saya tidak menyangka Naib Canselor sendiri akan hadir menyampaikan skrol kepada saya. Saya amat terharu dan bersyukur kerana walaupun tidak dapat berada di Dewan Tunku Canselor, kejayaan saya tetap dihargai dan diraikan oleh universiti.
“Ini merupakan kenangan yang akan saya bawa sepanjang hayat dan menjadi sumber semangat untuk saya kembali bangkit serta meneruskan kehidupan,” ujar Syafiq.
Di sebalik kejayaan menggenggam segulung ijazah, tersimpan kisah perjuangan Syafiq sebagai seorang mahasiswa yang membahagikan masa antara tuntutan akademik dan komitmen pekerjaan sambilan.
Bertepatan dengan hari terakhir Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-66 yang meraikan seramai 11,852 graduan, kisah Syafiq menjadi penutup penuh bermakna kepada istiadat konvokesyen tahun ini.
Sesungguhnya, konvokesyen bukan sekadar tentang melangkah ke pentas untuk menerima segulung ijazah, tetapi tentang meraikan perjalanan, pengorbanan dan ketabahan setiap insan dalam mencapai kejayaan
