
“Sebagai pelajar, kita memang akan ‘juggle’ banyak perkara. Sebab itu, perancangan sangat penting, jika gagal merancang, kita merancang untuk gagal,” kata Ahmad Faiz bin Yazid, graduan Sarjana Muda Ekonomi dari Fakulti Perniagaan dan Ekonomi, penerima Anugerah Pelajaran DiRaja pada Istiadat Konvokesyen Ke-65.
Anak kelahiran Kota Bharu ini merupakan penerima Biasiswa Yayasan Khazanah Watan dan telah berjaya menamatkan pengajian dengan rekod akademik yang cemerlang sambil aktif memimpin sebagai salah seorang majlis penasihat tertinggi untuk satu badan ulung persatuan yang dikenali sebagai Sekretariat Sukarelawan Universiti Malaya (SEKRUM).
“Sokongan staf, sokongan pihak pengurusan fakulti dan sokongan pihak pengurusan universiti memainkan peranan penting untuk memberikan lonjakan kepada setiap aktiviti yang kita laksanakan,” katanya.
Beliau kini bersedia memulakan kerjaya sebagai Penganalisis Pelaburan di Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebagai sebahagian daripada komitmen perkhidmatan bagi biasiswa yang diterimanya.
Penglibatan aktifnya dalam pelbagai aktiviti universiti, termasuk sebagai Pemudahcara Mahasiswa Sentral, menjadi antara pengalaman paling bermakna sepanjang pengajiannya di UM.
“Kejayaan saya hari ini juga terselit doa kawan-kawan yang dimakbulkan oleh Tuhan. Semoga semua terus berjaya dan menghargai setiap bakat yang ada,” tambahnya.
Selain Ahmad Faiz, Daniswaran a/l Seenivasan, graduan Sarjana Muda Sains Statistik dari Fakulti Sains, juga turut menerima Anugerah Pelajaran DiRaja pada konvokesyen yang sama.
Ahmad Faiz dan Daniswaran adalah antara 11,356 graduan yang terlibat dalam Istiadat Konvokesyen ke-65 yang akan berlangsung selama 22 sidang bermula 29 November sehingga 10 Disember 2025.
Anugerah Pelajaran DiRaja adalah anugerah yang diberikan kepada pelajar tahun akhir yang terbaik keseluruhannya bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga penglibatan yang aktif dalam kegiatan kokurikulum seperti persatuan, sukan/kesenian dan aktiviti kemasyarakatan/sukarelawan termasuk mempunyai rekod kelakuan baik sepanjang tempoh di UM.
Penganugerahan ini juga sebagai dorongan kepada pelajar untuk sentiasa meningkatkan prestasi pembelajaran selasan dengan hasrat universiti dalam melahirkan graduan yang berkualiti dan memberi sumbangan kepada negara dan Dunia.
