corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

MEMORIAL INSPIRASI UNGKU AZIZ - MERCU TANDA PENDIDIKAN NEGARA SUMBANGAN UNGKU AZIZ

Universiti Malaya melalui Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz (UAC) telah menganjurkan satu majlis khas sebagai memorial inspirasi kepada Profesor Ungku Aziz yang juga mantan Naib Canselor Universiti Malaya dan juga tokoh pendidikan yang telah memberi sumbangan yang tidak ternilai kepada negara.
 
Melalui majlis memorial ini juga, UAC mengumumkan pengubahsuaian kediaman Ungku Aziz di Universiti Malaya yang merupakan sebuah kediaman bersejarah. Pengubahsuaian kediaman ini akan menjadi simbol kecemerlangan dan dedikasi Ungku Aziz akan menjadi tempat berkumpulnya pemikir, pelajar, dan masyarakat untuk berinteraksi, belajar, dan mendapatkan inspirasi.

Profesor Datin Sri Dr. Suhaiza Hanim Binti Dato’ Mohamad Zailani, Pengarah, Pusat Pengajian Pembangunan Ungku Aziz Universiti Malaya berkata kehadirqn kita di sini pada pagi ini adalah satu tanda penghargaan yang besar kepada warisan dan sumbangan yang luar biasa Profesor Diraja Dr. Ungku Aziz yang telah meninggalkan kita pada 3 tahun yang lepas yang telah banyak meninggalkan kesan yang mendalam dalam dunia akademik dan ekonomi negara.

“Semoga kita semua dapat mengambil inspirasi daripada pencapaian Almarhum, dan menyambung perjuangan untuk kebaikan bersama serta pembangunan masyarakat yang lebih baik.

“Semangatnya dalam mencapai kecemerlangan, hasratnya dalam mengejar ilmu, dan komitmen terhadap keadilan sosial telah memberi inspirasi kepada banyak orang dari pelbagai lapisan masyarakat. Beliau tidak hanya merupakan tokoh pendidikan dan ilmuwan yang ulung, tetapi juga seorang wira yang memperjuangkan nilai-nilai keadilan dan kesaksamaan.

“Pengorbanan beliau dalam memperjuangkan pendidikan berkualiti dan akses kepada ilmu pengetahuan telah membentuk landskap pendidikan negara ini. Semangat kecemerlangan yang ditanamkannya dalam diri beliau dan orang lain telah mendorong generasi-generasi seterusnya untuk mencapai kejayaan yang tinggi.

“Oleh itu, majlis ini merupakan satu bentuk penghormatan yang tulus kepada pencapaian luar biasa yang telah dicapai oleh Almarhum. Semangat dan warisan beliau akan terus mengilhami kami di Pusat Ungku Aziz atau UAC untuk meneruskan perjuangan dan menyumbang kepada kemajuan masyarakat dan negara,” katanya.
 

Turut hadir ke majlis memorial tersebut ialah Tan Sri Dr. Zeti Akhtar, Tan Sri Dato’ Seri Sulaiman Mahbob dan Profesor Ir. Dr. Kaharuddin Dimyati Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi).
 
Setiap sudut rumah ini akan bercerita tentang perjuangan, pencapaian dan sumbangan Ungku Aziz, memberikan peluang kepada setiap pengunjung untuk merenung kembali tentang makna sebenar pendidikan, dedikasi, dan pengorbanan demi kebaikan masyarakat.

Last Update: Jan 29, 2024