corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

MENTERI PENDIDIKAN TINGGI RASMI KARNIVAL PENYELIDIKAN UNIVERSITI MALAYA (UMRC) SIRI KE-5

YB Datuk Seri Hj. Mohamed Khaled Hj. Nordin, Menteri Pendidikan telah merasmikan Karnival Penyelidikan Universiti Malaya (UMRC) yang diadakan pada 8 hingga 10 Januari 2023 bertempat di Auditorium, Kompleks Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi UM. Karnival yang mempamerkan inovasi dan rekacipta penyelidikan UM turut menampilkan pelbagai program dan terbuka kepada orang ramai.

“Saya sangat berasa berbahagia bila kembali ke Universiti Malaya. Ia adalah alma mater saya. Ini adalah arena saya melalui fasa paling penting dalam hidup saya. Belajar, menimba ilmu dan mengutip pengalaman, bergiat dalam pelbagai kegiatan kemahasiswaan. Semuanya adalah perjalanan yang sangat mendewasakan. Pemikiran, nilai, prinsip dan perspektif saya, sebahagian besarnya terbentuk dan terasuh di kampus ini.

“Karnival seumpama ini misalnya, tidak boleh sekadar menjadi karnival yang mengumpulkan penyelidik bijak pandai. Ia harus turut menjadi medium kepada mencari pelabur, pembiaya dan rakan kongsi. Malah, karnival ini harus menjadi platform meyakinkan pelabur dan pihak industri untuk tampil dan membangun perniagaan bersama. Cara kita memeta sinergi dan kerjasama dengan pelbagai pihak di dalam dan luar lingkungan kampus adalah sangat kritikal.

“Tidak ada universiti yang akan mempunyai dana yang mencukupi untuk membiayai semua projek penyelidikannya sendiri. Kita mesti melakukan pelbagai bentuk kerjasama. Universiti mesti mencari rakan kerjasama yang bukan sahaja strategik tetapi boleh menjadi rakan perniagaan yang menguntungkan,” kata YB Datuk Seri Hj. Mohamed Khaled Hj. Nordin dalam ucapan perasmiannya. 

“Sekali lagi saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Universiti Malaya sebagai tuan rumah di atas penganjuran Karnival Penyelidikan Universiti Malaya yang penting ini. Saya harap banyak hasil penyelidikan yang dihasilkan akan dapat diterjemahkan ke dalam bentuk yang benar-benar dapat dirasai oleh negara,” tambah beliau. 


 
Last Update: Mar 07, 2023