Datuk Paduka Dr. Wan Azman Wan Ahmad, Pakar Kardiologi, Fakulti Perubatan Universiti Malaya telah dianugerahkan gelaran Profesor Emeritus pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya Ke-64 oleh Duli Yang Maha Mulia Tuanku Canselor.
“Setelah berkhidmat lebih 40 tahun di Universiti Malaya, hari ini merupakan hari paling bermakna bagi saya kerana Tuanku Canselor sendiri yang menyampaikannya. Kenangan ini akan disematkan sebagai memori termanis buat saya. Kejayaan yang saya kecapi adalah kerana doa restu ibu bapa dan sokongan keluarga.
“Kepada semua pelajar dan graduan Universiti Malaya, saya harap penganugerahan ini dapat berikan inspirasi untuk pelajar dan graduan untuk menjadi lebih cemerlang. Seperti tagline yang disampaikan oleh Naib Canselor Universiti Malaya, “Di sini bermulanya pintar, tanah tumpahnya berani”,” kata Dr. Wan Azman.
Dr. Wan Azman juga sempat menyampaikan mesej mengenai penyakit jantung yang makin meningkat. Menurut beliau pesakit jantung di Malaysia kini meningkat dikalangan golongan muda dan lebih membimbangkan kadar kematian akibat serangan jantung sangat tinggi. Penyakit jantung boleh dicegah di mana langkah-langkah pencegahan diambil seperti berhenti merokok, menjaga pemakanan dan menukar gaya hidup yang lebih aktif.
Dr. Wan Azman telah memberi sumbangan signifikan dalam kepakaran dan kepimpinan akademik di peringkat Fakulti, Universiti dan Negara. Beliau telah berkhidmat lebih dari 40 tahun di Universiti Malaya, di mana sumbangan dan pencapaian beliau tidak dapat dinafikan lagi terutamanya kepada Fakulti dan Jabatan dalam bidang Kardiologi.
Sumbangan beliau yang paling signifikan adalah apabila beliau memperkenalkan konsep hospital mesra ibadah di Pusat Perubatan Universiti Malaya yang masih diteruskan sehingga kini. Dr. Wan Azman juga telah terlibat dalam membangunkan lebih 20 clinical practice guidelines serta menganggotai lebih daripada 100 jawatankuasa/badan penasihat pelbagai atau kategori di peringkat Universiti dan negara.
Universiti Malaya pada tahun ini meraikan 9,253 graduan dalam Istiadat Konvokesyen Ke-64 dalam 16 sidang bermula 30 November hingga 8 Disember 2024.
Pembukaan sidang pertama Istiadat Konvokesyen Ke-64 telah diisytiharkan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, Canselor, Universiti Malaya.