corporate@um.edu.my                   

PATRIOTISME BERGEMA DI DTC UM

Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya (UM) malam ini bergema dengan sorakan dan semangat cinta tanah air apabila ribuan warga kampus berhimpun dalam suasana penuh warna bagi meraikan Sambutan Ambang Merdeka Peringkat Universiti Malaya 2025.

Acara penuh simbolik ini bukan sekadar perhimpunan, tetapi sebuah manifestasi penghargaan terhadap perjuangan kemerdekaan tanah air. Dengan gabungan perarakan patriotik, persembahan kebudayaan, gimik khas menjelang detik 12 malam dan laungan keramat “Merdeka”, sambutan ini menghidupkan roh kebangsaan di kampus tertua negara.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, dalam ucapannya berkata dalam semangat Merdeka ini, marilah kita memperbaharui semangat, iman dan kecintaan bersama terhadap negara dan rakyat, serta terus melindungi Anak Bangsa kita dan keterangkuman semua, dalam meraikan bakat dan kemanusiaan dari seluruh dunia. 

“Bersama, kita mesti terus mendokong era baharu pertumbuhan aspirasi dan keamanan global, berteraskan prinsip keadilan, kesaksamaan, merit serta nilai kemanusiaan berasaskan hikmah, pegangan nilai moral dan belas kasihan. 

“Kita memegang taruhan masa depan yang dipacu aspirasi bersama untuk hari esok yang lebih baik dan pembaharuan keyakinan demi kesejahteraan generasi baharu dan seterusnya. 

“Merdeka kali ini memacu kekuatan kolektif kita untuk terus berkorban dan menyumbang kepada masa depan negara tercinta, untuk rakyat kita dan untuk kemanusiaan,” katanya.

Last Update: Sep 17, 2025