corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

People@UM - Abd. Aziz Rekan

People@UM - Abd Aziz Rekan

Pensyarah muda Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) dari Tuaran, Sabah ini pernah bercita-cita untuk menjadi seorang jurutera semasa kecil. Namun sebagai anak yang baik, beliau mentaati nasihat ibu dan ayahnya untuk menurut jejak langkah kakaknya yang mengikuti jurusan pendidikan Islam di universiti.

Bermula sebagai pelajar asasi pengajian Islam di kampus Nilam Puri, Kelantan sehinggalah pengajian ijazah sarjana mudanya di Kuala Lumpur, minatnya untuk menjadi seorang pensyarah dan penyelidik dalam pendidikan Islam semakin membuak-buak.

“Sedikit demi sedikit minat saya dalam bidang pendidikan Islam, terutamanya dari aspek pedagogi dan androgogi, bukan hanya bertambah, malah semakin mengukuh di dalam jiwa. Dan saya percaya ini semua berkat doa dan redha ibu bapa di sepanjang pengajian saya.

Saya juga bersyukur mempunyai pensyarah-pensyarah yang banyak mendedahkan saya dengan kepuasan menjadi seorang ahli akademik yang membantu membina masyarakat berilmu,” kata alumni UM tahun 2013 ini.

Di atas kecemerlangan akademiknya sepanjang bergelar mahasiswa (tersenarai dalam Anugerah Dekan setiap semester), dan penglibatan aktif ko-kurikulumnya (kadet SUKSIS dan pelbagai program kemasyarakatan dan kepimpinan), Abd. Aziz telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelajaran DiRaja (APD) sempena Istiadat Konvokesyen tahun 2013. Beliau merupakan penerima APD pertama dari jurusan pendidikan Islam di dalam sejarah konvokesyen UM.

“Kenangan terindah semasa majlis tersebut adalah apabila berpeluang memeluk erat kedua ibu bapa saya di luar Dewan Tunku Canselor, dan menyerahkan hadiah wang tunai yang saya terima kepada mereka. Lebih indah apabila mereka turut menitiskan air mata sambil tersenyum kebanggaan,” imbaunya sambil tersenyum.

“Istiadat Konvokesyen tahun ini juga sebenarnya ada yang istimewa untuk saya,” katanya mengusik.

Melihat kami yang agak terpinga-pinga, Dr. Abd. Aziz pantas menyambung:

“Sesuatu yang sangat istimewa untuk saya dan APIUM, kerana sejarah tahun 2013 bakal berulang,” kata ayah kepada seorang cahaya mata ini, cuba berahsia.

Melihat senyuman bangganya, kami sebenarnya sudah boleh meneka apa yang dimaksudkan. Tahniah!

📸 Profile photos by Mohd. Yani Alias for BPP. Convocation photos from personal collection of Abd. Aziz Rekan

#UniversitiMalaya

#ImpactingTheWorld

#WithYouItsPossible

Last Update: Dec 05, 2022