corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

People@UM - Hanafi Hussin

People@UM - Hanafi Hussin

 


“Maksud kemerdekaan di mata saya? Oh, itu panjang jawapannya,” kata Prof. Dr. Hanafi Hussin setelah tamatnya sesi penggambaran video terakhir dalam siri ‘Teguh Bersama’ terbitan Pusat Komunikasi Korporat, Universiti Malaya.

“Jom kita bersembang di bawah teduhan pokok ini,” ajaknya.

“Seingat saya, semasa kanak-kanak, saya memang ingin menjadi sama ada seorang guru atau diplomat. Walaupun sekarang saya bukanlah seorang guru atau diplomat yang bertugas di luar negara, namun saya percaya sebagai seorang pensyarah universiti awam, saya telah pun berjaya melaksanakan peranan kedua-dua kerjaya ini,” kata anak jati Tronoh, Perak ini dengan penuh semangat.

“Selain melaksanakan tugas pengajaran dan pembelajaran, seorang pensyarah juga perlu melakukan penyelidikan dan penyeliaan. Kesemuanya ini adalah sebahagian daripada proses pendidikan seseorang, yang tidak hanya terhad kepada institusi sekolah semata-mata,” tambahnya lagi.
Tanpa menunggu respon daripada kami, Prof. Hanafi terus menyambung: “Sebagai pensyarah juga, ia membenarkan saya berkelana ke seluruh pelosok dunia bagi menjalankan kajian dan menambah ilmu.

Dalam bidang penyelidikan saya sendiri contohnya, saya telah pergi ke semua negara di Asia Tenggara, mendalami budaya dan adat masyarakat tempatan. Di Malaysia sendiri saya pernah ke pedalaman hutan Endau-Rompin, Johor, mendekati masyarakat Orang Asli Jakun, yang sangat mahir dengan anyaman tikar dan kelarai,” terang mantan Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial ini panjang lebar.

Mungkin menyedari mata kami yang mula terkebil-kebil cuba mengikuti penerangannya, Prof. Hanafi bertanya: “Mungkin kamu tertanya-tanya di mana jawapan soalan erti kemerdekaan tadi, bukan?”

Sejurus melihat kami terangguk-angguk setuju, beliau menyambung: “Itulah tadi jawapannya.

Merdeka di mata saya ialah apabila kita semua mampu untuk memasang apa jua impian, dan pada masa yang sama, mempunyai ruang dan peluang untuk mengejar dan menggapainya. Yang membezakan setiap daripada kita hanyalah tahap usaha dan tawakal kepada Tuhan yang Maha Adil,” katanya lagi, dengan bibirnya tanpa henti menguntum senyum.

“Dan merdeka juga ialah apabila kita boleh makan makanan kegemaran kita pada bila-bila masa dan ketika,” kata Prof Hanafi secara tiba-tiba, seraya bangun dan membetulkan kain sampingnya.
“Berbaju Melayu begini terasa nak makan rendang asli Padang pula. Jom saya belanja!” ajaknya kepada kami yang bersorak kegembiraan.

Tonton video ‘Teguh Bersama’ Prof. Hanafi Hussin di pautan ini (atau pautan IG story):

https://www.youtube.com/watch?v=kotjtZ_BEV4

Selamat menyambut Hari Malaysia ke-59 dari kami semua di Universiti Malaya.

📸 Mohd. Fadhli Yong / CCO

#ServingTheNation

#WithYouItsPossible

#Malaysia

Last Update: Sep 27, 2022