corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

People@UM - Mohd. Nazri Zainal Abidin

People@UM - Mohd. Nazri Abidin

“Itik dan angsa ni semua dah saya anggap macam keluarga saya dah. Cuma saya tak bagi nama je,” kata Mohd. Nazri memulakan perbualan kami petang itu di pinggir Tasik Varsiti.

“Setiap satu ada perangai masing-masing. Itu yang duduk seorang diri tu yang paling tua di sini. Kira abang seniorlah,” sambil jarinya menunjuk ke arah seekor itik serati (Cairina moschata) yang sedang duduk berseorangan di bawah rimbunan pokok. Seolah-olah memakai ‘topeng’ berwarna merah, itik yang seekor ini persis seorang panglima garang yang sedang menjaga keamanan ‘negeri’nya.

Melihat jurufoto kami cuba menghampiri itik yang seekor ini, pantas beliau memberi amaran: “Jaga-jaga, ya? Dia garang tu.”

Mohd. Nazri Zainal Abidin, atau lebih mesra dengan panggilan Black di kalangan rakan-rakannya, merupakan Pembantu Awam H11 di Jabatan Pembangunan dan Pengurusan Harta Benda (JPPHB), Universiti Malaya. Anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan ini sudah bertugas di UM sejak 2003, dan sudah 7 tahun dipertanggungjawabkan memelihara sejumlah 42 ekor itik dan 8 ekor angsa di Tasik Varsiti.

“Nak jaga mereka ni tak adalah susah mana. Mula-mula agak mencabarlah, sebab saya memang tak ada pengalaman menternak haiwan.

Tapi dengan sedikit latihan, dan ilmu yang saya dapat dengan membaca dan bertanya kepada mereka yang ada pengalaman menternak itik dan angsa, proses menjaga mereka ini jadi semakin lancar dan mudah.

Selain memberi makan, momen yang paling saya suka ialah saat mengutip telur mereka pada setiap pagi. Buat masa ini, kita mampu menghasilkan sekitar 23 hingga 25 biji telur itik sehari, yang akan dijual kepada mereka yang sudah menempahnya,” terang ayah kepada seorang cahaya mata ini sambil ‘memanggil’ itik-itiknya untuk pulang ke reban bagi diberi makanan.

Seperti mengerti dengan isyarat yang diberi, hampir kesemua itik mula berenang ke arah reban dalam keadaan tersusun. Namun terdapat juga sebilangan kecil yang perlu dihalau masuk sendiri oleh Black.

“Semuanya kena masuk ke dalam sebelum boleh diberi makan,” terangnya sambil menolak itik yang terakhir masuk ke dalam reban.

“Boss mengundi di mana nanti?” tanya Black secara tiba-tiba kepada Pengarah Pusat Komunikasi Korporat UM, Prof. Madya Dr. Nahrizul Adib Kadri, yang turut bersama kami dalam sesi temuramah ini.

“Saya di Lembah Pantai saja. Dah lama tukar ke sini dari Johor,” jawab Dr. Adib, ringkas.

“Baguslah tu. Pilih calon yang betul, ya boss?

Itik pun happy kalau negara stabil dan makmur!” selorohnya sambil mula memberi makanan kepada ‘anak-anak’nya.

……

📸 Photos by Mohd. Fazli Zainordin for CCC (2022)

#UniversitiMalaya

#ImpactingTheWorld

#WithYouItsPossible

Last Update: Nov 21, 2022