corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

People@UM - Nur Fatihah Jasmi

People@UM - Nur Fatihah Jasmi

“Saya sebenarnya sedang bertanding di Para SUKMA 2022 dalam acara catur mewakili Negeri Sembilan. Tapi saya ambil masa sedikit hari ini untuk ambil jubah sempena Istiadat Konvokesyen ke-62 bulan Disember nanti,” kata Nur Fatihah Jasmi ketika ditemui bersama ibunya di Bangunan Peperiksaan, Universiti Malaya semasa sesi pengambilan jubah untuk kesemua bakal graduan bagi tahun ini.

Menurut anak bongsu dari tiga adik-beradik ini, dia sudah berjinak-jinak dengan permainan catur sejak di bangku sekolah rendah lagi. “Cuma keyakinan untuk menjadi seorang atlet sukan itu hanya hadir setelah saya agak dewasa, dan saya mula menyertai Para SUKMA pada tahun 2018,” terangnya.

Mendengar kepetahannya bercerita, sementelah mengetahui yang dirinya bersekolah di sekolah biasa sejak kecil, mungkin mampu membuatkan seseorang terlupa kelainan upaya yang dimilikinya sejak dilahirkan. “Saya bersyukur kerana saya adik-beradik semuanya dibesarkan dalam suasana yang sentiasa melihat kepada apa yang ada, dan bukannya apa yang tiada.

Saya sentiasa yakin dengan hikmah dalam setiap aturan hidup ini, dan menjadi tugas kita untuk mencarinya. Bukan dengan hanya melihat kekurangan dan bersedih, sebaliknya kita perlu mencari kelebihan yang ada dalam diri kita, dan membantu semua yang ada di sekeliling kita dengan cara yang terbaik,” kongsi Nur Fatihah, penuh semangat.

“Cita-cita saya sejak kecil ialah untuk menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya. Dan saya sedang bertatih ke arah itu dengan menjadi ejen syarikat kek secara online terkenal di Malaysia. Alhamdulillah setakat ini usaha saya mula membuahkan hasil, dan saya sudah pun mempunyai beberapa orang pelanggan tetap,” tambahnya lagi.

Anak kelahiran Kuala Lumpur ini merupakan antara lebih 6,000 pelajar yang akan meraikan tamatnya pengajian masing-masing di Dewan Tunku Canselor pada 5 hingga 13 Disember kelak. Graduan jurusan diploma pengurusan dari UMCCED ini akan meraikannya bersama ibu bapa, ahli keluarga terdekat, dan rakan-rakan karibnya.

“Abang jangan lupa datang tengok saya konvo tau?” kata Nur Fatihah, mesra.

“Nanti saya bawa kek coklat special untuk abang.”

[TERKINI] Nur Fatihah memenangi dua pingat perak di Para SUKMA 2022, melalui acara fizikal standard, dan rapid berkumpulan. Tahniah!

📸 Photo by Mohd. Fazli Zainordin @fazlizainor / CCO

#UniversitiMalaya

#WithYouItsPossible

Last Update: Nov 21, 2022