Sejurus tamat sesi penggambaran siri video 'Teguh Bersama' di Panggung Eksperimen baru-baru ini, Valerie Cassera Rapoi mengajak kami ke tangga luar Dewan Tunku Canselor.
"Kita ambil angin sebentar," katanya.
Sambil tangannya masih kemas memegang Jalur Gemilang yang dibekalkan, Valerie berkata: "Kemerdekaan ini tak akan hadir tanpa pengorbanan. Benar, negara kita sudah merdeka 65 tahun yang lalu; hasil pengorbanan ramai individu yang bertungkus lumus dalam kapasiti masing-masing.
Namun apa pula pengorbanan yang boleh kita berikan kepada negara bagi mengekalkan kemerdekaan ini?" tanya Penolong Pendaftar di Pejabat Kluster Penyelidikan IPPP ini.
Tanpa menunggu respon kami, anak Sarawak ini menjelaskan yang istilah kemerdekaan juga merujuk kepada kemahuan setiap daripada kita untuk berusaha bersungguh-sungguh dalam setiap perkara yang dilakukan. "Saya percaya di dalam setiap kesungguhan kita menyempurnakan tanggungjawab itu ada terselit pengorbanan yang pastinya membawa erti yang tersendiri.
Dari sinilah akan terbitnya perasaan sayangkan negara, dan tentunya penghayatan erti kemerdekaan itu akan menjadi lebih bermakna," terang Valerie sambil mengalih pandangannya ke arah Kompleks Perdanasiswa.
Sebelum beredar, dia sempat berbisik, "Rasanya ini akan jadi sambutan hari lahir saya yang paling saya ingati!"
......
Tonton video 'Teguh Bersama' terbitan Pejabat Komunikasi Korporat UM sempena Hari Kebangsaan ke-65 yang memaparkan Valerie di sini:
https://www.youtube.com/watch?v=PkwOTUVoi7c
Photos by Mohd. Fadhli Yong / CCO