
Universiti Malaya melakar sejarah apabila meraikan seramai 11,356 graduan dalam Istiadat Konvokesyen Ke-65 yang berlangsung dari 29 November hingga 10 Disember 2025. Jumlah ini merupakan rekod tertinggi sejak 120 tahun penubuhan universiti tersebut.
Sidang pertama istiadat telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah selaku Canselor Universiti Malaya.
Pada istiadat tersebut, YABhg. Tun Tengku Maimun Tuan Mat, bekas Ketua Hakim Negara dan alumni Universiti Malaya, telah dikurniakan Ijazah Kehormat sebagai penghargaan terhadap jasa serta sumbangan beliau kepada negara. Tun Tengku Maimun turut dikenang sebagai wanita pertama dilantik ke jawatan Ketua Hakim Negara ke-10 Malaysia.
Universiti Malaya turut menzahirkan penghargaan terhadap perjalanan kepimpinan dan pemikiran beliau yang memperlihatkan semangat menuntut ilmu, ketajaman analisis serta komitmen tulus terhadap kemajuan masyarakat. Penghakiman beliau kini menjadi rujukan penting dalam dunia akademik, manakala falsafah kehakimannya yang berteraskan kesetiaan kepada Perlembagaan, prinsip kesamarataan dan keadilan terus membentuk khazanah intelektual yang akan diterokai para pelajar dan sarjana pada masa hadapan. Penganugerahan Ijazah Kehormat ini turut melambangkan aspirasi berterusan universiti untuk merapatkan dunia keilmuan dan khidmat awam.
Dalam istiadat yang sama, Sultan Nazrin turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Ts. Dr. Rohana Yusof, pakar virologi Universiti Malaya.
Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, dalam ucapannya merakamkan ucapan tahniah kepada semua graduan yang berjaya menamatkan pengajian di Universiti Malaya.
“Hari ini merupakan satu tanda perjalanan bahawa ilmu yang diperoleh telah membawa anda ke ruang tanggungjawab baharu. Seramai 156 daripada 686 graduan Ijazah Kedoktoran berjaya menamatkan pengajian dengan status Graduate on Time (G.O.T). Syabas dan tahniah atas kejayaan tersebut.
Beliau turut menegaskan bahawa Universiti Malaya tidak hanya melahirkan cendekiawan yang menguasai teori.
“Kita membentuk manusia yang mampu memimpin hati dan memimpin zaman. Ilmu tanpa jiwa hanya melahirkan kemajuan tanpa makna, dan kemajuan tanpa nilai hanya menambah luka kepada dunia yang sedia pincang.
“Ancaman dunia baharu memerlukan keberanian moral, bukan sekadar kecerdikan intelektual. Seorang graduan yang teguh nilai dan besar jiwanya mampu meruntuhkan tembok yang tidak mampu dipecahkan oleh teknologi semata-mata. Realiti semasa menuntut kecerdikan dan keberanian moral daripada generasi baharu demi membina dunia yang lebih manusiawi,” katanya.
