Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, YB Dato’ Hj. Mohammad Yusof Apdal merasmikan AKEPT Global Series : Skills for the Workforce of the Future Conference 2023 yang diadakan pada 9 & 10 Ogos 2023 di Dewan Tunku Canselor, Universiti Malaya.
Persidangan dua hari ini adalah untuk mengenal pasti cara terbaik bagi pihak berkepentingan menangani isu dan cabaran dalam menguruskan bakat tenaga kerja serta mewujudkan pekerjaan yang lebih baik untuk tenaga kerja masa depan yang sihat, berdaya saing dan saksama.
YB Dato’ Hj. Mohammad Yusof Apdal dalam ucapan perasmiannya berkata bahawa “Saya secara peribadi berpendapat bahawa program ini adalah tepat pada masanya untuk kita memahami dan menyusun strategi ke hadapan bagi memenuhi permintaan pasaran kerja untuk masa hadapan. Saya dimaklumkan bahawa kita akan mempunyai Ketua Perangkaan Malaysia, pakar dari Talent Corp, Kementerian Sumber Manusia, pelbagai industri, dan ahli akademik yang akan berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dalam menangani permintaan dan bekalan tenaga kerja serta kemahiran dan pengetahuan yang diperlukan.”
“Kita mengharapkan platform yang diberikan dalam persidangan ini dapat memberi ruang kepada semua panel dan peserta berinteraksi supaya mereka dapat bertukar-tukar idea, mula menerokai bagaimana untuk berkolaborasi antara Universiti Awam dan sektor industri dalam aspek penempatan, upskilling dan reskilling dalam sektor pekerjaan dan sebagainya,” kata Ketua Program Persidangan “Skills For The Workforce Of The Future, Dr. Yong Zulina Zubairi.
Persidangan ini, yang dianjurkan dengan kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Kementerian Pengajian Tinggi, Universiti Malaya dan TalentCorp Malaysia, bertujuan untuk mengumpul pelbagai pandangan dan cadangan mengenai kemahiran dan kapasiti kritikal yang diperlukan untuk landskap tenaga kerja yang sentiasa berkembang.