corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

TRADISI TUKAR TANDA TAHUN DI JATA UM DITERUSKAN DENGAN KESYUKURAN, KESEDERHANAAN

Saban tahun, masyarakat di Malaysia akan menyambut ketibaan tahun baru dengan aktiviti mengikut kesesuaian masing-masing. Di Universiti Malaya (UM), satu tradisi puluhan tahun tetap diteruskan hari ini walaupun dengan penuh kesederhanaan sebagai tanda sokongan kepada warga Palestin.

Setiap tahun baru, tepat pada detik 12 tengah malam, tanda tahun yang berada di bawah jata UM akan ditukar ke tahun berikutnya. Tradisi unik tidak rasmi yang berlangsung berdekatan Dewan Tunku Canselor setiap tahun mampu menarik penglibatan ratusan malah ribuan pelajar, alumni dan staf.

Buat julung kalinya barisan Pengurusan Universiti yang diketuai oleh YBhg. Prof. Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, Naib Canselor UM bersama pasangan masing-masing turut turun bersama warga UM sempena sesi pertukaran tanda tahun.

Tambah meriah lagi apabila YBrs. Prof. Dr. Azlinda binti Azman, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia dan  suami turut hadir sama bagi menyaksikan tradisi ini diteruskan bersama.

Kemeriahan sambutan kali ini lebih dirasai dengan kehadiran sekitar 2,000 orang warga UM  yang terdiri daripada pelajar, alumni, staf dan orang awam yang mula berkumpul sejak jam 10.30 malam lagi.

Menurut Professor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, acara ini bukan sahaja dianggap sebagai tradisi yang mampu meningkatkan rasa bangga dan kesatuan dalam kalangan warga UM, ia juga merupakan wacana alternatif sambutan yang lebih selamat, jimat dan ringkas kepada yang menyertainya.

“Sambutan di luar kampus walaupun amat meriah namun agak memakan masa dan wang sekiranya para pelajar ingin menyertainya. Di sini, para pelajar dapat menyambut dalam keadaan lebih tenteram, terkawal, percuma dan bersama rakan-rakan mereka,” ujar beliau.

“Mereka juga boleh terus kembali ke kediaman sekitar kampus setelah  usai acara tersebut dengan cepat tanpa menghadapi masalah pengangkutan dan sebagainya.”

Dalam pada itu, Professor Dato’ Seri Azuan turut melahirkan rasa kesyukuran atas nikmat hidup di Malaysia serta sokongan dan solidariti kepada warga Palestin.

“Saya mewakili warga kampus mendoakan agar warga Palestin dapat hidup aman dan damai secepat mungkin.”

Prof. Azuan turut merakamkan penghargaan kepada petugas terutamanya Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan Harta Benda UM yang berdedikasi memastikan tanda tahun diubah tepat jam 12 malam setiap tahun.

“Selain itu, saya turut berterima kasih kepada Keselamatan UM yang menjaga keamanan acara serta petugas lain yang terlibat,” tambah beliau.

“Semoga tahun 2024 ini akan memberi sinar baru yang lebih baik kepada kita semua terutamanya warga Universiti Malaya,” kata beliau mengakhiri temuramah.

Last Update: Jan 02, 2024