corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

UM CATAT ANTARA JUMLAH PERDAFTARAN PELAJAR BAHARU TERTINGGI SEJAK PENUBUHANNYA


Seramai 5,210 pelajar baharu program Sarjana Muda Sesi Akademik 2024/2025 mula mendaftar di Universiti Malaya (UM) mulai hari ini, sekali gus mencatat jumlah pendaftaran pelajar baharu tertinggi sejak penubuhannya.

Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman, hari ini merupakan detik bersejarah kerana UM menerima jumlah pelajar baharu yang besar. Jumlah pelajar kali ini membuktikan bahawa UM sentiasa menjadi pilihan di hati rakyat Malaysia.

“Saya ingin mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar yang mula mendaftar hari ini. Universiti Malaya menerima pelajar-pelajar baharu dari seluruh pelusuk negara, dan juga dari luar negara iaitu dari negara seperti China, Indonesia, Bangladesh dan negara-negara lain.

“Saya sempat bertemu dengan ibu bapa hari ini, dan kesemua mereka berkongsi perasaan gembira kerana anak-anak mereka berjaya menjejakkan kaki ke Universiti Malaya. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada ibu bapa yang hadir bersama ke kampus UM.

“Pihak Pengurusan Universiti Malaya juga hadir untuk menyambut pelajar baharu dan memberi jaminan bahawa kami akan memberikan komitmen penuh untuk memastikan pelajar dapat menghabiskan pembelajaran dengan cemerlang di Universiti Malaya dan seterusnya melahirkan graduan yang berjaya,” katanya.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Zamri Radzi pula berkata pendaftaran hari ini berlangsung di Universiti Malaya dengan kerjasama petugas seramai 630 orang, yang terdiri daripada staf dan pelajar sukarelawan.

“Setakat hari ini, proses pendaftaran berjalan lancar terutamanya dengan bantuan staf dan sukarelawan yang bertugas dengan penuh dedikasi sejak awal pagi hari ini. Universiti Malaya Week of Welcome (UMWOW) Minggu Haluan Siswa (MHS) akan berlangsung sehingga 3 Oktober, di mana pelajar akan mengikuti sesi taklimat secara hibrid di Auditorium Kompleks Perdanasiswa serta di Kolej Kediaman yang merangkumi sesi pengenalan berkaitan akademik dan hal ehwal pelajar. Mereka juga akan terlibat dengan pelbagai aktiviti antaranya sukan dan kesenian serta dibawa melawat fakulti masing-masing,” katanya.Seorang pelajar yang berasal dari negeri di bawah bayu, Sabah, Nurain Farhana Judding yang melanjutkan pelajaran di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, tiba di Semenanjung seminggu lebih awal bagi membuat persediaan sebelum mendaftar di Universiti Malaya.

“Saya bersyukur kerana berjaya menjejakkan kaki ke universiti terbaik negara ini, dan semakin mendekati cita-cita saya untuk menjadi seorang yang berjaya dan dapat membantu keluarga,” katanya.

Menurut rakan sebilik, Nur Alya Atiqah Amran yang berasal dari Kemaman, Terengganu dan Mia Nurmaisara Riduan, mereka berdua gembira setelah selesai mendaftarkan diri di Universiti Malaya dan gembira dengan fasiliti serta keselesaan bilik yang disediakan di Kolej Kediaman. 

Last Update: Sep 30, 2024