corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

UM DIBERI PENGHORMATAN ANJUR MAJLIS LANDASAN HALA TUJU KEMENTERIAN PENDIDIKAN TINGGI TAHUN 2024

Universiti Malaya telah diberi penghormatan memainkan peranan utama sebagai tuan rumah bagi Majlis Landasan Hala Tuju Kementerian Pendidikan Tinggi Tahun 2024 yang disempurnakan oleh YB Dato' Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi pada 12 Januari yang lepas. Majlis ini menjadi mercu tanda penting dalam membina landasan strategik untuk memajukan kualiti dan kecemerlangan pendidikan tinggi, menyumbang kepada pembangunan negara melalui inovasi dan pengembangan potensi ilmu pengetahuan. Hadir sama Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, YB Datuk Ts. Mustapha Sakmud; serta Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir.

Naib Canselor Universiti Malaya, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman turut menyambut baik amanat yang disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi. Beliau berkata, universiti perlu terus menjadi medan pengasah dan pencipta bakat yang bertaraf global, dengan kapasiti holistik dalam sinergi kebolehan dan kompetensi intelektual serta kemahiran praktikal yang bersasar.

“Universiti Malaya terus berada di persada tertinggi dalam melonjak masa depan  negara dan kemanusiaan dalam aspek ini. Tiga tumpuan strategi utama menjadi landasan baharu pembentukan pelan tindakan Universiti Malaya. Pertama, memasyarakatkan impak komuniti daripada kepakaran dan hasil penyelidikan Universiti Malaya. Kedua, menganjak langkah mengindustrikan Universiti Malaya dalam membentuk rangkaian limpahan impak positif kepada pelajar, industri kritikal dan pembangunan negara. Ketiga, memperkasa proses pengantarabangsaan dan memastikan impak global Universiti Malaya terus mengakar di pelosok strategi dunia dalam membawa jenama dan kapasiti universiti untuk memberikan pulangan kepada komuniti global dan juga reputasi negara.

“Universiti Malaya membentuk ekosistem generasi baharu yang holistik dan agung dalam aspek high-skilled competency dan high performance mentality, dengan sandaran  nilai dan norma negara. Ekosistem komprehensif yang berdasarkan kepada all of university and whole of industry approach menjadi sandaran utama dalam memastikan kepakaran digembleng dan sistem sokongan sistematik disalurkan kepada pembentukan hasil penyelidikan yang menjadi tumpuan global.

“Fokus utama adalah penghasilan research outcome yang menghasilkan perubahan dan solution based approach kepada isu dan cabaran global dan kemanusiaan. Universiti Malaya perlu terus memperkasa sinergi keseluruhan penyelidikan dalam domain kritikal termasuk kesihatan, ekonomi hijau dan digital, kepintaran buatan, keselamatan tenaga dan mineral kritikal, teknologi berimpak tinggi dan lain-lain sebagai landasan teraju utama negara,” katanya.

Profesor Dato’ Seri Noor Azuan juga menekankan bahawa pendidikan tinggi negara dan universiti di seluruh Malaysia perlu berani, teguh dan kental dalam perubahan dan reformasi sistem pendidikan, dengan mengambil kira tuntutan masa depan.

“Sistem lama yang menghambat perkembangan baharu mesti dihentikan, dan Universiti Malaya kental dalam hasrat anjakan lembaran baharu. Dalam perubahan ini, Universiti Malaya berpegang teguh dan terus yakin dan berani dalam membuat perubahan dan transformasi strategik, dalam usaha menggapai langit dan mencorak acuan baharu, dan tetap kental dalam norma dan nilai negara dengan UM bersinonim Home of the Bright, Land of the Brave,” tambahnya lagi.

Last Update: Jan 18, 2024