corporate@um.edu.my                   

UM iFEST 2026 HIMPUNKAN 10,000 PENGUNJUNG, PAMER LEBIH 2,800 INOVASI PELAJAR



Universiti Malaya (UM) hari ini melakar satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya menghimpunkan lebih 10,000 pengunjung, pempamer, pemain industri dan pakar akademik menerusi Universiti Malaya Ideas Festival (iFEST) 2026, sebuah festival inovasi dan penyelidikan berskala besar yang menampilkan lebih 2,800 projek tahun akhir pelajar daripada 17 fakulti.

Majlis penutupan festival ini telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, sekali gus menandakan berakhirnya penganjuran UM iFEST 2026 yang berjaya menjadi platform unggul dalam mempertemukan bakat akademik, penyelidikan dan industri di bawah satu ekosistem yang dinamik.

Dengan konsep yang diperbaharui, UM iFEST 2026 menggabungkan pelbagai komponen utama universiti termasuk pameran Projek Tahun Akhir Sarjana Muda (UG FYP), penyelidikan pascasiswazah melalui International Transdisciplinary Research Conference (INTRAC), pameran penyelidikan berskala besar Universiti Malaya Research and Innovation Showcase (UMRIIS), serta karnival kerjaya UMStepUP. 

Pendekatan holistik ini menjadikan UM iFEST sebagai platform strategik yang menghubungkan pelajar, penyelidik, industri dan bakal majikan dalam memacu pembangunan modal insan berimpak tinggi.

Sebanyak 2,800 projek yang dipamerkan telah dinilai oleh 401 juri profesional daripada pelbagai bidang industri dan akademik dalam usaha merebut Anugerah Undergraduate Final Year Project (UGFYP). 

Projek-projek yang dipamerkan merangkumi sembilan kluster utama iaitu Sains dan Teknologi, Kejuruteraan dan Alam Bina, Kesihatan dan Perubatan, Kecerdasan Buatan dan Inovasi Digital, Kelestarian dan Alam Sekitar, Pendidikan dan Pengajian Bahasa, Perniagaan, Kewangan dan Keusahawanan, Seni, Budaya dan Industri Kreatif serta Sains Sosial dan Kemanusiaan, mencerminkan keluasan kepakaran dan kecemerlangan multidisiplin Universiti Malaya.

Penganjuran UM iFEST 2026 turut membuktikan komitmen berterusan Universiti Malaya dalam memperkasa pendidikan berasaskan pengalaman, memperkukuh budaya inovasi dan menggalakkan penyelidikan yang mampu memberi impak kepada masyarakat serta industri. 

Festival ini bukan sahaja menjadi medan untuk pelajar mempamerkan hasil pembelajaran dan penyelidikan mereka, malah membuka ruang kepada perkongsian ilmu, kolaborasi strategik serta penerokaan peluang pengkomersialan hasil penyelidikan.

Melalui sesi penilaian industri, pembentangan projek, pameran prototaip dan peluang pengambilan pekerja, UM iFEST turut memainkan peranan penting dalam meningkatkan kebolehpasaran graduan. Inisiatif ini memberi pendedahan dunia sebenar kepada pelajar serta membantu mereka membina keyakinan profesional sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Sebagai universiti penyelidikan terunggul negara, Universiti Malaya terus komited dalam melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global, memperkasa agenda penyelidikan berimpak tinggi dan memperkukuh hubungan strategik dengan industri bagi menyumbang kepada pembangunan negara berteraskan ilmu, inovasi dan teknologi.

Penganjuran UM iFEST 2026 ini juga amat signifikan kerana berlangsung bersempena sambutan ulang tahun ke-121 Universiti Malaya, yang meraikan legasi kecemerlangan institusi ini sejak penubuhannya. Setelah lebih satu abad menjadi peneraju pendidikan tinggi di rantau ini, Universiti Malaya terus mengorak langkah ke hadapan sebagai pusat kecemerlangan ilmu, penyelidikan dan inovasi yang melahirkan generasi pemimpin, profesional dan pencipta masa depan negara.

Last Update: Jun 11, 2026