corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

UM LAKSANA LANGKAH-LANGKAH MEMBANTU PELAJAR TANGANI MASALAH BERKAITAN YURAN

Universiti Malaya mengambil maklum mengenai beberapa isu yang diketengahkan pihak pelajar khususnya Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) berikutan pelaksanaan Polisi Kutipan Hutang Pelajar atau Zero Balance Policy yang telah mula dilaksanakan pada tahun 2021. Pelaksanaan polisi ini akan dibuat berdasarkan ketetapan berikut:-

  1. Bagi pelajar yang berhutang di bawah tajaan, pendaftaran untuk semester berkenaan adalah dibenarkan namun menjadi tanggungjawab pelajar berkenaan untuk memastikan pihak penaja membuat penyelesaian hutang tersebut. Justeru, pelajar di bawah tajaan boleh berhubung secara terus dengan pihak Jabatan Bendahari Universiti Malaya dalam perkara-perkara yang melibatkan yuran tajaan dan perihal pendaftaran.
  2. Universiti Malaya juga mendapati bahawa hanya kurang dari empat peratus pelajar yang berkemungkinan terkesan kerana tidak mengemaskini status penajaan atau mempunyai tajaan/bantuan pendidikan atau benar-benar memerlukan bantuan kewangan.
  3. Bahagian Hal-Ehwal Pelajar (BHEP) akan menyelaras sebarang rayuan untuk permohonan bantuan kewangan tertakluk kepada kelayakan.
  4. Pelajar dalam kategori ini juga dibenarkan mendaftar dan perlu menyelesaikan baki yuran sebelum minggu ke-7 sesi akademik untuk Semester 1 2023/2024. Pentadbiran Universiti memberi jaminan bahawa semua permohonan dan rayuan yang diterima akan disemak dan diproses dengan kadar segera.

Untuk makluman, Universiti Malaya mengalami tren kenaikan penghutang pelajar sebanyak RM 51.20 juta pada 30 Jun 2023 berbanding pada 31 Disember 2022 (RM47.33 juta). Pihak Universiti berkeyakinan bahawa berdasarkan ketetapan di atas, pelaksanaan polisi ini tidak akan membebankan pelajar dan mampu membantu usaha universiti dalam menangani isu penghutang pelajar yang dihadapi oleh Universiti.

Last Update: Jan 02, 2024