
Universiti Malaya (UM) melalui Muzium Seni Asia dengan kerjasama Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims, Jepun, menganjurkan Pameran Keamanan Untuk Semua: Memori Hiroshima & Nagasaki 1945 (Peace for All: Hiroshima & Nagasaki 1945: Memories) bermula 26 Oktober 2026 hingga 12 Februari 2027 bertempat di Muzium Seni Asia, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Pameran ini membawa pengunjung menelusuri peristiwa pengeboman atom di Hiroshima dan Nagasaki pada Ogos 1945 melalui paparan foto sejarah, rekod bertulis serta kesaksian mangsa yang terselamat daripada pengeboman atom, yang dikenali sebagai hibakusha.
Bahan-bahan yang dipamerkan memberi peluang kepada masyarakat untuk memahami kesan peperangan terhadap kehidupan manusia, di samping menghayati kepentingan keamanan untuk generasi masa kini dan akan datang.
Menurut Kurator Pameran, Zahirah Noor Zainol Abidin, pameran ini bukan sekadar memperkenalkan peristiwa sejarah, tetapi turut mengetengahkan kisah manusia di sebalik tragedi tersebut.
“Di sebalik setiap angka dan setiap foto, terdapat sebuah kisah manusia. Dengan mengingatinya, kita bukan memilih untuk terus hidup dalam tragedi, tetapi memilih untuk belajar daripadanya demi masa hadapan yang lebih aman.”
Beliau turut menjelaskan bahawa muzium memainkan peranan penting sebagai ruang pendidikan yang menghubungkan sejarah dengan masyarakat, khususnya generasi muda. Melalui pameran ini, pengunjung bukan sahaja dapat memahami peristiwa yang berlaku di Hiroshima dan Nagasaki, malah berpeluang merenungkan kesan peperangan serta tanggungjawab bersama dalam memelihara keamanan.
Penganjuran ini merupakan kali kedua Universiti Malaya diberi kepercayaan untuk menjadi tuan rumah pameran berkenaan, selepas penganjuran pertamanya pada tahun 2009. Kerjasama berterusan ini mencerminkan komitmen kedua-dua institusi dalam memperluas pendidikan sejarah, memelihara memori kemanusiaan dan menyampaikan mesej keamanan kepada masyarakat.
Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims merupakan institusi yang ditubuhkan oleh Kerajaan Jepun pada tahun 2003 bagi memperingati mangsa pengeboman atom serta menyampaikan mesej keamanan. Institusi ini turut melaksanakan pameran di peringkat antarabangsa bagi meningkatkan pemahaman masyarakat dunia tentang kesan pengeboman atom dan pengalaman mereka yang terselamat.
Selain paparan pameran, pelbagai aktiviti pendidikan dan interaktif turut dirancang sepanjang tempoh penganjuran, termasuk aktiviti origami keamanan, penyampaian mesej keamanan, bicara keamanan (Peace Talk) dan perkongsian kisah hibakusha. Aktiviti ini bertujuan menggalakkan penglibatan pengunjung secara lebih dekat dengan tema dan mesej pameran.
Penganjuran pameran ini juga merupakan sebahagian daripada usaha Universiti Malaya memperkukuh kerjasama antarabangsa melalui bidang permuziuman, pendidikan dan perkongsian pengetahuan, sekali gus membuka ruang pembelajaran sejarah dunia kepada masyarakat Malaysia.
Sehubungan itu, Muzium Seni Asia mengalu-alukan kehadiran pelajar sekolah, institusi pengajian tinggi, pendidik, penyelidik serta orang awam untuk mengunjungi pameran ini dan bersama-sama menghayati mesej keamanan yang ingin disampaikan.
MAKLUMAT PAMERAN
Tajuk: Pameran Keamanan Untuk Semua: Memori Hiroshima & Nagasaki 1945
Tarikh: 26 Oktober 2026 – 12 Februari 2027
Tempat: Muzium Seni Asia, Universiti Malaya, Kuala Lumpur
Penganjur: Muzium Seni Asia, Universiti Malaya
Kerjasama: Nagasaki National Peace Memorial Hall for the Atomic Bomb Victims, Jepun
