corporate@um.edu.my +603-7967 7022               

UNIVERSITI MALAYA DAN AIR SELANGOR LANCAR

Universiti Malaya (UM) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) melancarkan ‘Kita Jaga Air Challenge 2022’ yang bertujuan untuk menerap kesedaran dan mendidik para pelajar serta warga kerja UM berkenaan langkah penjimatan air. Pertandingan tersebut telah dilancarkan di Rimba Ilmu, Universiti Malaya semalam.

‘Kita Jaga Air Challenge 2022’ merupakan sebahagian daripada pengisian Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UM dan Air Selangor. Ia terdiri daripada tujuh (7) cabaran mingguan seperti: mengurangkan penggunaan air harian, mengenali badan air di sekelilingnya, menggunakan peranti penjimatan air dan mengurangkan Jejak Air mereka. Lebih 200 peserta dijangka menyertai pertandingan ini yang terdiri daripada pelajar dan warga kerja Universiti Malaya.

Pertandingan tersebut bertujuan untuk memberi insentif kepada pengguna air di UM dalam menetapkan matlamat konservasi air jangka panjang dengan mengurangkan penggunaan air harian mereka serta menerapkan penjagaan sungai berasaskan tempat (pendekatan berorientasikan place-based).

Menurut Thavendran Loganathan, Ketua Bahagian Pengurusan Risiko, Air Selangor, “Pertandingan ‘Kita Jaga Air Challenge’ yang akan dilaksanakan ini bukan sahaja dapat menyumbang kepada kesinambungan dan kelestarian operasi syarikat, bahkan inisiatif yang strategik ini sedikit sebanyak dapat memainkan peranan dalam usaha untuk merealisasikan visi kami sebagai penyedia perkhidmatan air terkemuka di Asia menjelang tahun 2030. Kami juga berharap menerusi inisiatif seperti ini, ia dapat memberikan pendedahan yang lebih berkesan mengenai pemuliharaan air kepada masyarakat.”

“Pertandingan ini juga adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami dalam memenuhi janji jenama ‘Setiap Titis Bermakna’ dengan komitmen untuk terus membekalkan air terawat yang bersih dan selamat kepada para pengguna kami,” tambah beliau.

Menurut Profesor Ir. Dr. Shaliza Ibrahim, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), UM, pihaknya memainkan peranan penting dalam menunjukkan model terbaik dalam aspek pemeliharaan dan penjimatan air secara lestari dan bertanggungjawab.

“Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menetapkan keperluan air harian pada 165 liter setiap orang setiap hari. Bagi mengurangkan penggunaan air dalam kalangan rakyat Malaysia, pada tahun 2020, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), menetapkan sasaran 181 liter seorang sehari. Bagi mencapai dan menyambut hasrat murni ini, kita perlu menjimatkan air dengan cara yang lebih bijak dan kreatif,” ujar beliau dalam ucapan aluan.

 “Sehubungan itu, UM amat berbesar hati dan menyokong sepenuhnya usaha libatsama secara berterusan oleh Air Selangor untuk mengurangkan penggunaan air berlebihan,” tambah beliau.

 Bagi peluang untuk dipilih sebagai pemenang, para peserta perlu mengambil gambar atau video mereka melakukan aktiviti cabaran mingguan dan harus berkongsi pengalaman mereka di laman sosial media Instagram atau Facebook dengan kapsyen yang kreatif. Lebih banyak aktiviti yang dilaksanakan lebih tinggi peluang mereka untuk dipilih sebagai pemenang. Tempoh pertandingan adalah diantara 7 November sehingga 25 December 2022.

 Antara kriteria pemilihan pemenang termasuk berdasarkan tahap kreativiti, isi kandungan penyertaan dan juga jangkamasa penyerahan penyertaan. Pemenang tempat pertama akan mendapat ganjaran wang tunai RM1000 manakala pemenang tempat kedua dan ketiga masing-masing akan mendapat RM500 dan RM300.

Bagi memperkasakan usaha penggunaan air lestari, program ini diinspirasikan daripada pengisian ‘Water Handbook – Penggunaan dan Pemuliharaan yang Lestari untuk Individu dan Organisasi’ terbitan Air Selangor, yang berdasarkan tiga tema utama: Lestari, Pelihara dan Pulihara. Buku ini merupakan hasil kerjasama antara pakar-pakar di Air Selangor dan ahli akademik UM. Ia boleh dimuat turun daripada laman web rasmi Air Selangor www.airselangor.com.

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Profesor Madya Dr. Zeeda Fatimah Mohamad, Pengarah, Pusat Pembangunan Kelestarian UM, pelajar dan warga kerja UM, serta agensi dan NGO berkaitan dengan pemuliharaan alam sekitar.
Last Update: Mar 06, 2023